KHIDMAT Selvan (tengah) diperlukan seketika oleh Negeri Sembilan bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang KL City FC, di Paroi, Ahad ini. FOTO Ihsan NSFC
KHIDMAT Selvan (tengah) diperlukan seketika oleh Negeri Sembilan bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang KL City FC, di Paroi, Ahad ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Khidmatnya diperlukan seketika oleh pasukan membuatkan penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC) A Selvan, belum melaporkan diri bersama skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23).

Menurut Selvan, kegagalan melaporkan diri itu tidak disengajakan atau bukan disebabkan tidak berminat tetapi kerana komitmen kepada pasukan yang bakal menghadapi perlawanan penting dalam saingan Liga Super.

Katanya, dia akan melaporkan diri bersama skuad bimbingan Brad Maloney itu pada Isnin atau Selasa ini.

"Sepatutnya saya melaporkan diri bersama skuad kebangsaan B-23 pada 19 April lalu tetapi pengurusan pasukan minta tangguh kerana kami akan berhadapan perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, di laman sendiri, Ahad ini.

"Saya fikir pihak pengurusan pasukan sudah memaklumkan mengenai perkara berkenaan kepada ketua jurulatih skuad B-23 Tahun itu.

"Jurulatih (K Devan) minta saya beri fokus seketika bagi menghadapi perlawanan dengan KL City ini nanti kerana ia perlawanan penting dan mencabar dan saya akur dengan keputusan itu," katanya hari ini.

Kata Selvan, semangatnya untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan sememangnya sentiasa membara dan dia berterima kasih kepada Maloney yang menyenaraikan namanya sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Hanoi, bulan depan.

"Saya rasa mungkin Isnin atau Selasa akan melaporkan diri dan akan sentiasa bersedia untuk berbakti bersama pasukan negara," kata pemain berasal dari Port Dickson itu yang menjadi satu-satunya pemain dari Negeri Sembilan yang dipanggil.

Mengenai perlawanan menentang KL City pada Ahad nanti, Selvan berharap dapat diturunkan walaupun sebagai pemain gantian, untuk membantu pasukan melakar kemenangan.

Katanya, selepas mengharungi empat perlawanan liga, dia belum berjaya menjaringkan sebarang gol walaupun diturunkan dalam dua perlawanan iaitu ketika menentang Penang FC di tempat lawan dan Petaling Jaya (PJ) City FC, di laman sendiri, minggu lalu.

"Keinginan untuk mencetak nama sebagai penjaring sentiasa tinggi, namun sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya akan bergantung kepada perancangan jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 6:11 PM