THIVANDARAN antara yang dipanggil membarisi Skuad B-23. FOTO Owee Ah Chun
THIVANDARAN antara yang dipanggil membarisi Skuad B-23. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Taring skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bertambah mantap apabila lima pemain baharu dipanggil ke kem latihan pasukan negara menjelang Kejuaraan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini.

Lima pemain itu terdiri daripada penyerang muda iaitu Muhammad Najmuddin Akmal, Muhammad Firdaus Kaironnisam, K Thivandaran, A Selvan dan N Javabilaarivin.

"Tiga pemain yang berada di dalam senarai bersedia, K Thivandaran, Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Muhammad Najmuddin Akmal telah memulakan latihan bersama skuad B-23 kebangsaan pada 27 dan 28 Januari lalu.

"Manakala dua pemain baharu dari Negeri Sembilan FC, A Selvan serta N Javabilaarivin akan menyertai pasukan bermula hari ini," kata kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kem latihan skuad negara bermula Khamis lalu dengan penolong jurulatih Khan Hung Meng mengendalikan latihan pasukan ekoran Brad Maloney ketika ini sedang menjalani kuarantin dan akan bersama anak didiknya pada Khamis ini.

Untuk rekod, anak buah Maloney akan bermain tiga perlawanan persahabatan masing-masing menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 5 Februari, manakala aksi sama ada menentang Kedah Darul Aman FC atau Skuad Projek FAM-MSN (8 Feb) dan Kuala Lumpur City FC (10 Feb).

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari sebelum memulakan kempen menentang Myanmar dalam aksi pembukaan di Stadium Prince tiga hari kemudian.

Skuad kendalian Maloney kemudian akan berdepan Laos pada 18 Februari di venue sama dan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Tiga juara kumpulan dan satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung dua hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 2:32 PM