SELVAN (kiri) disifatkan oleh Devan sebagai aset untuk masa depan bola sepak Negeri Sembilan. FOTO Ihsan NSFC
SELVAN (kiri) disifatkan oleh Devan sebagai aset untuk masa depan bola sepak Negeri Sembilan. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengurusan Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) bangga dengan pemilihan penyerang muda pasukan itu, A Selvan, bagi menyertai kem latihan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Hanoi, bulan depan.

Pengurus merangkap ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata, pemilihan Selvan itu sebagai suatu motivasi buat pemain muda berkenaan untuk meletakkan dirinya di tahap terbaik pada masa depan.

"Sejak dia terpilih menyertai skuad kebangsaan bagi kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh Kemboja, Februari lalu, saya lihat prestasi Selvan sudah banyak meningkat dan bagus untuk masa depannya.

"Bagi saya, Selvan adalah aset kerana dia masih muda dan berbakat serta perlu diberikan peluang serta pendedahan di peringkat tertinggi, untuk membolehkannya mencapai prestasi lebih baik.

"Kelab bangga dia dipanggil bagi persiapan menghadapi Sukan Sea Hanoi dan berharap Selvan terus terpilih menganggotai skuad berkenaan untuk beraksi di Vietnam," katanya di sini, hari ini.

Devan berkata, selain memberikan tunjuk ajar dan skil permainan yang baik, pihaknya juga sentiasa memberikan peluang kepada pemain terbabit menunjukkan persembahan dalam skuad utama mengharungi Liga Super musim ini.

Menurutnya, penyerang berasal dari Port Dickson itu sering diturunkan sebagai pemain gantian namun dia dapat melaksanakan tugas dengan baik serta berjaya membantu jentera hadapan pasukan.

"Bagaimanapun, Selvan perlu terus berusaha dan bekerja keras serta bertindak lebih agresif untuk membina karektor di padang jika mahu mencapai tahap permainan yang tinggi.

"Saya yakin Selvan mempunyai masa hadapan yang baik sebagai pemain bola sepak dan penyertaan dalam skuad kebangsaan B-23 Tahun ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi prestasi dan pencapaiannya," katanya.

Terdahulu, pemain berusia 22 tahun itu tidak menyangka dipanggil menyertai kem latihan skuad bimbingan Brad Maloney.

Selvan adalah satu-satunya pemain dari skuad Negeri Sembilan yang dipanggil menyertai kem latihan berkenaan yang bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 5:43 PM