SELVAN (tengah) tidak menyangka terpilih dalam skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan. FOTO ihsan A Selvan
SELVAN (tengah) tidak menyangka terpilih dalam skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan. FOTO ihsan A Selvan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Panggilan menyertai kem latihan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Hanoi, bulan depan ternyata menyuntik motivasi dan membangkitkan semangat penyerang muda Negeri Sembilan FC (NSFC), A Selvan.

Pemain berusia 22 tahun itu tidak menyangka terpilih dan mengakui rasa teruja dipanggil menyertai kem latihan skuad bimbingan Brad Maloney itu yang akan melaporkan diri pada 19 April ini.

Baginya, penyertaan dalam skuad kebangsaan adalah satu platform terbaik dalam usaha meningkatkan prestasi dan skil permainannya.

"Saya dimaklumkan nama terpilih menyertai skuad kebangsaan ke Sukan Sea, hari ini dan tidak menyangka menjadi satu-satunya pemain dari Negeri Sembilan yang dipanggil.

"Rasa amat teruja kerana ini kali kedua terpilih selepas turut tersenarai ketika menghadapi kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja antara 14 hingga 26 Februari lalu," katanya, hari ini.

Selvan berkata, peluang terbaik itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman berharga di pentas antarabangsa bagi meningkatkan lagi tahap permainannya.

Pemain berasal dari Port Dickson itu berjanji untuk menghargai panggilan itu dengan menunjukkan sikap positif dan disiplin tinggi sepanjang latihan, bagi memastikan tempatnya dalam skuad ke Hanoi nanti tidak terjejas.

"Saya akan menggunakan pengalaman beraksi di Phnom Penh dan saingan Liga Super bersama NSFC untuk membantu skuad kebangsaan meraih pencapaian terbaik di Sukan Sea Vietnam.

"Saya perlu menghargai peluang ini dengan menunjukkan prestasi cemerlang dan berharap dapat mempraktikkan segala bimbingan dan tunjuk ajar ketua jurulatih NSFC, K Devan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 8:35 PM