PEMAIN tengah Atletico Madrid, Thomas Lemar berlatih menjelang perlawanan menentang Manchester City. FOTO AFP
PEMAIN tengah Atletico Madrid, Thomas Lemar berlatih menjelang perlawanan menentang Manchester City. FOTO AFP
AFP

Madrid: "Ia mungkin tidak cantik, tetapi berkesan. Atletico menang, itu yang paling penting," kata pemain tengah Atletico Madrid, Thomas Lemar menjelang perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester City, awal pagi Khamis.

Atletico tewas 0-1 di Manchester pada perlawanan pertama, minggu lalu, tetapi dari segi statistik, mereka jauh ketinggalan.

City melakukan 15 percubaan dan Atletico langsung tiada percubaan menyebabkan Pep Guardiola berkata: "Dalam pra sejarah, hari ini dan 100,000 tahun lagi, menyerang dengan formasi 5-5-0 memang sukar."

Kapten Atletico, Koke memberi reaksi di Instagram dengan menunjukkan gambar logo kelab dan keterangan: "Dengan rasa cinta terhadap cerita anda sejak pra sejarah. Dengan penuh bangga menjadi Atleti."

Malah, walaupun Manchester City menjadi pilihan berbekalkan satu gol, terdapat keyakinan bahawa kebangkitan boleh berlaku di Stadium Wanda Metropolitano.

"Memang selalu begitu di Atleti, tetapi saya tidak mahu menipu dan mungkin ia membantu. Tetapi, kami turut bimbang apabila beberapa kali ketinggalan, walaupun mampu untuk mengubah keputusan pada perlawanan kedua," kata Lemar.

"Memang geram apabila dibolosi satu gol ketika menentang City, tetapi jika anda mahu terus melangkah, anda perlu menjaringkan gol.

"Kami lihat ada peluang untuk melepasi mereka dan kami berdepan tugas sukar pada perlawanan kedua. Diharapkan agar kami mampu melepasi halangan itu dan mara ke separuh akhir."

Lemar sangat mengetahui kemampuan pengendali pasukan, Diego Simeone. Selepas menyertai Atletico Madrid dari Monaco pada 2018, Lemar berdepan detik sukar apabila hanya menjaringkan empat gol dalam dua musim awal dan ramai menjangka dia akan dijual pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, Simeone melihat pemain itu perlukan pertolongan, bukannya perpindahan.

Dia kemudian mengubah posisi Lemar dari sayap kiri ke bahagian tengah dan perubahan itu membuahkan hasil apabila musim lalu, Lemar menjadi tiga tonggak jentera tengah Atletico yang memenangi La Liga.

"Saya berbincang dengan jurulatih, musim lalu dan kami bercakap mengenai cara meningkatkan situasi saya bersama pasukan," kata Lemar.

"Dia mendengar dan mencari posisi sesuai dengan kekuatan saya. Saya cukup selesa dan mudah bermain dengan gaya Atletico. Kini, sasaran saya mahu membalas kepercayaannya di atas padang."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 9:24 PM