PENYERANG Atletico Madrid, Luis Suarez (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang Manchester City. FOTO AFP
PENYERANG Atletico Madrid, Luis Suarez (kiri) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang perlawanan menentang Manchester City. FOTO AFP
AFP

London: Diego Simeone mengaku semalam bahawa Manchester City memiliki pemain lebih baik berbanding Atletico Madrid, tetapi kejayaan Chelsea muncul juara Liga Juara-Juara Eropah, musim lalu menunjukkan pasukannya mampu ke separuh akhir.

Atletico adalah pasukan underdogs menjelang perlawanan suku akhir pertama di Manchester City, hari ini, tetapi anak buah Simeone memliki sejarah mampu mencipta kejutan termasuk menewaskan Bayern Munich dibimbing Pep Guardiola pada 2016.

"Saya tidak ragu bahawa Manchester City memiliki pemain luar biasa," kata Simeone pada sidang media.

"Pemain mereka lebih baik berbanding kami, tetapi ada dua perlawanan perlu dilalui.

"Manchester City dan Bayern adalah pasukan pilihan berdasarkan pemain mereka, tetapi tahun lalu, Chelsea muncul juara. Mereka bermain lebih baik sebagai satu pasukan dan muncul pemenang, walaupun tidak ramai menjangkakannya."

Terdahulu, Guardiola enggan terbabit dalam perdebatan mengenai taktik pada ketika perlawanan itu dijangka pertembungan antara kawalan bola diterapkannya dengan corak kasar anak buah Simeone.

"Saya tidak mahu terbabit dalam perdebatan bodoh ini," katanya. "Semua orang mahu menang."

"Jika mereka menang, taktik mereka tepat dan jika kami menang, percaturan kami tepat. Perbezaannya adalah apa yang dilakukan pemain."

Manchester United menjadi mangsa taktik buruk Atletico, sebelum ini, tetapi Guardiola tiada masa untuk menyatakan kelab Sepanyol itu 'bermain jahat'.

"Saya tidak akan mengadili apa yang dilakukan mereka, saya akan menganalisis apa perlu dilakukan untuk mendapatkan keputusan terbaik di Madrid, minggu depan," katanya.

"Apa itu bermain buruk atau kotor? Kami menang 1-0 di Old Trafford 1-0 dan Bernardo Silva menghabiskan masa lima minit di kawasan penjuru. Itu bukan bermain buruk, itu adalah mempertahankan posisi anda. Saya tidak akan menilai lawan atau apa dilakukan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 10:15 AM