AKSI perlawanan persahabatan Malaysia melawan Singapura. FOTO Ihsan FAM
AKSI perlawanan persahabatan Malaysia melawan Singapura. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saya minta maaf kepada penyokong Malaysia.

Itu ungkapan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon selepas tewas kepada Singapura pada aksi persahabatan terakhir Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, malam kelmarin.

Pan-gon berkata, selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan, barisan pemain skuad Harimau Malaya menunjukkan peningkatan membabitkan persembahan individu selain tidak lagi gentar berhadapan dengan lawan.

Beliau berkata, kekalahan menentang Singapura bukanlah bermakna barisan pemain beraksi dengan teruk namun mereka sebenarnya masih lagi dalam proses untuk dibentuk menjadi skuad yang lebih mantap pada masa akan datang.

Katanya, berdasarkan persembahan yang dipamerkan pemain ketika ini sudah tentu pada tempoh akan datang penyokong Harimau Malaya akan melihat hasil yang cukup membanggakan terutama membabitkan corak permainan pasukan kebangsaan.

"Saya cukup yakin dengan prestasi dan persembahan yang dipamerkan barisan pemain cuma ada perkara yang perlu belajar berdasarkan kepada perlawanan persahabatan ini.

"Kita cuba menerapkan nilai positif kepada pemain dengan bermain mengikut identiti Harimau Malaya iaitu lebih agresif, dinamik dan proaktif.

"Cuma saya minta maaf kepada penyokong Harimau Malaya kerana keputusan tidak seperti yang mereka jangka. Kita dalam usaha membentuk dan membaiki kelemahan pasukan," katanya.

Pada perlawanan malam kelmarin menyaksikan skuad kendalian Pan-gon tewas kepada pasukan negara jiran itu 1-2 pada aksi persahabatan terakhir Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura.

Ternyata kekalahan terbabit membuka mata pengendali Pan-gon untuk perbaiki kelemahan pasukan kebangsaan sebagai persediaan menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023 Jun nanti.

Pada perlawanan sebentar tadi ternyata Ikhsan Fandi menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Malaya apabila berjaya mencipta dua gol pada minit 30 dan 76 untuk memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah.

Gol skuad Harimau Malaya pula disumbangkan pemain naturalisasi Liridon Krasniqi pada minit 57 selepas menerima hantaran dari Akhyar Rasid.

Terdahulu, pada perlawanan pertama persahabatan menentang Filipina menyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang menundukkan pasukan berada di ranking 129 dunia itu 2-0 dengan kedua-dua gol disumbangkan oleh Akhyar.

Sementara itu, Pan-gon mengakui walaupun anak buahnya melakukan serangan bertali arus namun tetap gagal menghasilkan sebarang gol untuk pasukan.

"Pada permulaan perlawanan cukup bagus dan saya juga yakin dengan persembahan pemain cuma kita banyak peluang namun tetap gagal menjaringkan gol.

" Perkara ini kita akan lihat dan akan perbaiki segera untuk mengharungi perlawanan akan datang. Perlawanan persahabatan ini bagus untuk kenal pasti kelemahan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 2:44 PM