AKHYAR (dua kanan) menjaringkan dua gol untuk Harimau Malaya. FOTO FAM
AKHYAR (dua kanan) menjaringkan dua gol untuk Harimau Malaya. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Aura 'K-Pop' ternyata mula meresap dalam skuad Harimau Malaya apabila menyaksikan berjaya meraih kemenangan 2-0 pada perlawanan persahabatan menentang Filipina di Stadium Nasional Singapura, sebentar tadi.

Jelas sekali, kehadiran jurulatih baharu Harimau Malaya Kim Pan-gon berjaya mengubah corak permainan skuad Harimau Malaya untuk lebih 'mengaum' dan sistematik sekali gus berjaya mengawal 90 minit perlawanan dan menyekat serangan berbahaya pasukan lawan.

Malah, kemenangan terbabit boleh dikatakan Pan-gon berjaya mengelak badi jurulatih asing terdahulu iaitu Nelo Vingada yang gagal meraih sebarang kemenangan dengan hanya berjaya mencipta satu keputusan seri sepanjang mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Pada babak pertama perlawanan menyaksikan skuad Harimau Malaya tidak perlu menunggu lama untuk mencetak gol apabila Akhyar Rashid bijak menyempurnakan hantaran dari Corbin-Ong untuk meletakkan Malaysia 1-0 seawal minit ketiga.

Kelincahan Akhyar yang pernah diberi jolokan 'Messi Kedah' ternyata memberi masalah kepada Filipina apabila dia bijak memperdayakan barisan pertahanan lawan sebelum merembat gol kedua perlawanan pada minit ke-24 selepas menerima hantaran Syafiq Ahmad untuk kedudukan 2-0.

Walaupun, skuad Harimau Malaya cuba mengatur serangan ke kubu lawan untuk menambah gol namun hanya dua gol saja berjaya dicipta sebelum separuh masa pertama tamat.

Memasuki babak kedua menyaksikan skuad Harimau Malaya memperlahanan rentak perlawanan sekali gus kurang serangan berbahaya dilakukan ke kubu lawan.

Malah, Pan-gon melakukan sekurangnya lima pertukaran pemain dengan memasukkan, Mohamadou Sumareh, Aidil Zafuan, Safawi Rasid, Liridon Krasniqi dan Azam Azih dilihat lebih kepada 'eksperimen' untuk menguji anak buahnya itu.

Tindakan menukar pemain terbabit tidak banyak mengubah corak permainan skuad kebangsaan sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Skuad kendalian Pan-gon akan turun sekali lagi pada perlawanan persahabatan terakhir menentang Singapura pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 10:01 PM