AKHYAR (dua kanan) cuba melepasi pemain Filipina, semalam. FOTO FAM
AKHYAR (dua kanan) cuba melepasi pemain Filipina, semalam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aksi licik umpama 'lipas kudung' oleh sayap kiri negara, Akhyar Rashid nyata mencuri perhatian pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas mudah menundukkan Filipina 2-0, semalam.

Pada aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura itu, Akhyar benar-benar meletup dan menunjukkan taring sebenarnya apabila meledak kedua-dua gol itu buat pasukan negara.

Menurut Pan-gon, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memiliki kualiti sebagai seorang penyerang dan beliau turut percaya, pemain lain dalam skuadnya juga mampu beraksi cemerlang seperti Akhyar.

"Akhyar mempunyai permainan yang bagus tetapi saya dapat lihat semua pemain Malaysia mempunyai kualiti mereka sendiri. Mereka harus percaya pada diri mereka sendiri bahawa mereka cukup baik," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Ditanya mengenai persembahan anak buahnya, secara keseluruhan bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) itu mengakui pemain memerlukan lebih masa lagi untuk memahami falsafah yang sedang diterapkan.

Bagaimanapun, beliau memuji sikap tidak putus asa pemain yang dilihat bekerja keras sepanjang lapan hari kem latihan negara sebelum ini.

"Saya teruja untuk permainan ini. Untuk seminggu terakhir di kem latihan, pemain menunjukkan keinginan mereka. Saya menghargai pemain yang bekerja keras sebagai satu pasukan. Mereka berusaha keras untuk mengikuti struktur pasukan.

"Sukar untuk saya jelaskan tetapi kami mempunyai model permainan kami sendiri. Kami cuba langkah demi langkah," katanya yang menekankan corak permainan berintensiti tinggi dalam aksi itu.

Dalam aksi itu, Akhyar membuktikan minit permainan yang kurang di peringkat domestik tidak langsung mengganggu prestasinya apabila berjaya meledak dua gol buat skuad Harimau Malaya.

Gol itu masing-masing dijaringkan seawal minit ketiga serta minit ke-24 buat memberi amaran bahawa skuad negara bakal bangkit di bawah kendalian Pan-gon selepas mengambil alih daripada Tan Cheng Hoe pada Februari lalu.

Selepas ini, skuad negara akan turun sekali lagi dalam saingan tiga penjuru itu dengan menentang Singapura di venue yang sama Sabtu ini sebelum menutup siri aksi persahabatan dengan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata, Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 10:45 PM