PARTLEY (dua kanan) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
PARTLEY (dua kanan) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
Reuters

London: Arsenal kembali ke kelompok empat terbaik Liga Perdana selepas jaringan Thomas Partey dan Alexandre Lacazette memastikan mereka meraih kemenangan 2-0 ke atas Leicester City di halaman sendiri, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Gunners mengatasi Manchester United dengan kelebihan satu mata tetapi skuad bimbingan Mikel Arteta masih mempunyai kelebihan tiga perlawanan berbanding seteru utama mereka itu untuk merebut tiket terakhir ke Liga Juara-Juara.

Arsenal kini memenangi lima perlawanan terakhir mereka dan meraih sembilan kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir Liga Perdana sekali gus mengubah musim mereka selepas permulaan kempen yang buruk.

Kembali ke saingan elit Eropah selepas tidak beraksi selama lima tahun kini semakin menjadi kenyataan jika mereka dapat mengekalkan prestasi yang mantap dalam 12 perlawanan terakhir.

"Kami perlu dan sepatutnya berada di sana. Sejarah kelab ini mewajibkan kami untuk berada di sana tetapi setakat ini kami belum layak dan masih banyak perlawanan untuk diharungi.

"Kami mempunyai individu yang sangat baik di kelab dan percaya dengan apa yang kami lakukan. Jadi anda perlu meraih keputusan yang baik. Beberapa bulan kebelakangan ini kami lebih konsisten," katanya.

Partey meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-11 berpunca dari sepakan penjuru Gabriel Martinelli.

Lacazette kemudian mengukuhkan kedudukan Arsenal apabila menambah gol kedua menerusi sepakan penalti minit ke-59.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 8:41 AM