PAHANG Rangers muncul naib juara MPFL. FOTO FAM
PAHANG Rangers muncul naib juara MPFL. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Dia (jurulatih futsal Pahang Rangers, Gerard Casas) kena buktikan dakwaannya. Setahu saya kita tak pernah maklumkan siapa yang dapat slot ke Piala AFC atau Piala AFF."

Demikian jawapan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar yang mengesahkan badan induk itu tidak pernah menawarkan tiket mewakili negara kepada mana-mana pasukan futsal Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) sebelum kempen liga itu bermula Januari lalu.

Sebaliknya, keputusan memilih wakil negara hanya diputuskan baru-baru ini, di mana juara MPFL akan beraksi di Piala AFC manakala juara Piala Futsal Malaysia bertanding di Piala AFF.

"Kita tak ada maklumkan begitu, dan kita tak ada maklumkan siapa yang pergi ke Piala AFC atau Piala AFF. Tak ada cerita pun sebelum ini, johan akan mewakili Malaysia sebab ia tak pernah dibincangkan. "Saya dah bertanya dengan pegawai saya, dia orang kata tak ada dalam mesyuarat yang mengatakan seperti mana yang dia (Casas) dakwa. Tidak berasas dan kalau dia boleh buktikan memang ada (keputusan wakil negara sebelum MPFL bermula), saya kena tengok" katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan pasukan futsal Pahang Rangers tidak berpuas hati apabila hak mereka untuk beraksi di Piala AFF selepas muncul naib juara di belakang Selangor MAC dinafikan FAM.

Casas yang juga jurulatih Pahang Rangers mengakui kecewa dengan keputusan FAM yang secara tiba-tiba mengumumkan naib juara MPFL tidak akan mewakili negara di Piala AFF, sedangkan sebelum kempen liga bermula tiket ke saingan serantau itu bakal menjadi milik pasukan di tangga kedua liga.

Namun sebaliknya berlaku apabila FAM mengubah format berkenaan selepas habisnya saingan liga dengan slot berkenaan diberikan kepada juara Piala Futsal Malaysia yang akan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 5:43 PM