Gerard Casas
Gerard Casas

Kuala Lumpur: Selepas dinafikan hak beraksi di pentas Piala AFF meskipun berjaya muncul naib juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL), pengendali futsal Pahang Rangers, Gerard Casas tampil meluahkan rasa tidak puas hati di laman sosial Instagram miliknya.

Katanya, satu penghinaan jika beliau terus berdiam diri tanpa mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam saingan MPFL musim ini.

Jelasnya, dirinya benar-benar kecewa dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang secara tiba-tiba mengumumkan naib juara MPFL tidak akan mewakili negara di Piala AFF, sedangkan sebelum kempen liga bermula tiket ke saingan serantau itu bakal menjadi milik pasukan di tangga kedua liga.

Namun sebaliknya berlaku apabila FAM mengubah format berkenaan selepas habisnya saingan liga dengan slot berkenaan diberikan kepada juara Piala Futsal Malaysia yang akan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri.

"Hakikat slot ke AFF secara tiba-tiba diubah, timing mereka membuat pengumuman itu nampak sangat. Sukar percaya semua ini kebetulan dan nampak seperti seolah ada yang tidak kena dan cuba jatuhkan pasukan ini," katanya.

Mengulas mengenai saingan MPFL, Casas berasa tidak adil apabila hanya satu venue dijadikan lokasi perlawanan di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, yang pastinya memberi kelebihan buat penyokong di Selangor, di mana Selangor MAC muncul juara.

"Dari awal lagi kami tahu ia misi mustahil untuk menjadi juara mengambil kira situasi yang kami terpaksa hadap, tetapi kami cuba untuk melakukannya. Kami akur dan menerima dengan positif kedudukan sebagai naib juara, hakikatnya saya berbangga dengan pemain yang banyak terkesan, terutama kerana travelling.

"Semua 14 perlawanan MPFL, 100 peratus perlawanan berlangsung di Kompleks Panasonic Shah Alam, yang mana memberi kelebihan nyata kepada Selangor, mereka berpusat di sini dan tidak perlu travel.

Bukan sahaja Pahang Rangers, tetapi pasukan dari negeri lain perlu travel pada setiap minggu untuk bermain.

"Kami dan Penang menghabiskan masa 10-12 jam setiap minggu atas bas, pasukan seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu lagi lah teruk. Pasukan yang berpangkalan di KL (Kuala Lumpur) langsung tidak perlu travel.

"Boleh tak awak bayangkan semua perlawanan EPL (Liga Perdana Inggeris) diadakan di Stamford Bridge? Kiranya pasukan London semua tak perlu travel, manakala Chelsea pula main semua perlawanan di tempat sendiri. Macam itulah situasinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:00 AM