Pemain TFC II menjalani latihan. FOTO Ihsan TFC
Pemain TFC II menjalani latihan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tugas sukar menanti Terengganu FC II (TFC II) dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah saingan Liga Perdana apabila berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching menentang Kuching City FC (KCFC) Sabtu ini.

Bagaimanapun ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali tetap tenang sambil akui beliau bakal menerapkan strategi berbeza bagi menyerap tekanan berdepan skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu.

Katanya ketiadaan arkiteknya dari Ivory Coast, Dechi Marcel yang beraksi bersama skuad 'abang' Terengganu FC (TFC) selepas Lee Tuck mengalami kecederaan tidak sesekali menjejaskan perancangannya untuk mempertahankan rekod tanpa kalah itu.

"Atas kertas sudah pasti kami berdepan laluan berliku untuk mempertahankan rekod tanpa kalah lebih-lebih lagi beraksi di stadium lawan, tapi dalam permainan apa-apapun boleh berlaku.

"Selain mengharapkan ketajaman penyerang import, Jordan Mintah, sudah pasti kami mahukan benteng pertahanan yang diketuai pemain kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic dan pemain Jepun, Masaki Watanabe di jentera tengah mampu berfungsi dengan baik.

"Manakala posisi penjaga gol pula kita bakal menurunkan pemain TFC, Mohd Sharmiza Yusof untuk mengawal pintu gol daripada dibolosi sambil mengharapkan pemain tempatan juga perlu memperagakan aksi terbaik selepas lebih dua bulan berehat.

"Berita baik buat kita setakat ini apabila semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan selain tahap kecergasan mereka berada pada tahap terbaik," katanya.

Aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Mac lalu, kedua-dua terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 2:30 PM