Badrul Afzan (dua kanan) mendoakan pasukannya mampu rakam kemenangan bertemu PDRM FC. FOTO Ihsan TFC
Badrul Afzan (dua kanan) mendoakan pasukannya mampu rakam kemenangan bertemu PDRM FC. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali mengingatkan anak buahnya tidak terjerat dengan taktikal pasukan PDRM FC yang mendapat sentuhan jurulatih baharu, Wan Rohaimi Wan Ismail.

Bekas arkitek Terengganu itu berkata, corak permainan skuad Sang Saka Biru itu dijangka berbeza berbanding sebelum ini ketika dibimbing jurulatih berpengalaman, Mat Zan Mat Aris.

Bagaimanapun, Badrul yang berjaya membantu pasukannya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan Liga Perdana bakal menerapkan strategi lebih ampuh untuk merakam kemenangan kedua selepas empat kali mencatat keputusan seri daripada lima perlawanan.

"Kita akui lawan ada masalah berkaitan prestasi pasukan sehingga menyebabkan berlakunya pertukaran jurulatih.

"Namun saya ingatkan pemain tidak terjerat dengan situasi itu sebaliknya perlu tampil dengan prestasi sebenar lebih-lebih lagi kita belum mengetahui strategi yang bakal diterapkan jurulatih baharu mereka.

"Saya harapkan misi kita untuk memburu tiga mata berhasil selain mengelak rekod tanpa kalah lebur apatah lagi beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok," katanya.

Mengulas ketiadaan penjaga gol utamanya, Mohd Suhaimi Husin yang bakal beraksi bersama pasukan 'abang' Terengganu FC (TFC) bertemu PJ City FC malam ini selepas penjaga gol utama TFC, Rahadiazli Rahalim mengalami kecederaan serius di bahagian lutut, Badrul akui tidak begitu risau kerana penjaga gol simpanannya, Mohamad Shafawi Mohamad juga berada dalam prestasi terbaik.

"Selain Suhaimi, kita juga tidak dapat menggunakan khidmat penyerang import, Jordan Mintah yang juga beraksi bersama TFC, namun ianya tidak mendatangkan masalah kerana pemain lain yang bakal mengisi posisi berkenaan mampu memikul tugas yang diberikan sebagaimana aksi terdahulu," katanya.

Berdasarkan rekod, TFC II kini mengumpul tujuh mata hasil lima perlawanan dengan menghuni di tangga keempat carta Liga Perdana manakala PDRM menduduki tangga ke sembilan dengan hanya merekod satu kemenangan dan empat kali tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 5:09 PM