Suasana tegang di antara  pemain TFC II dan pemain Penang FA selepas berlaku pergaduhan pada Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Suasana tegang di antara pemain TFC II dan pemain Penang FA selepas berlaku pergaduhan pada Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penggantungan perlawanan kemungkinan bakal menimpa kepada pemain yang terbabit dalam pergaduhan ketika aksi Piala Menteri Besar Terengganu antara Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Berdasarkan semakan kepada insiden seumpama itu sebelum ini, pemain yang dilihat menjadi punca atau terbabit dalam pergaduhan akan dikenakan hukuman berkenaan sebagai peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Malah, Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah berkata, TFC yang juga sebagai tuan rumah kepada perlawanan itu juga tidak akan terlepas apabila berisiko dikenakan tindakan susulan daripada insiden memalukan itu.

"Biasanya kalau pergaduhan membabitkan ramai pemain ini lebih berat (hukuman) berbanding hanya babitkan seorang pemain. Saya pun tak tahu bagaimana peraturan tatatertib sekarang ini, tapi FAM pasti akan ikut peraturan yang ada.

"Saya rasa tegas memang tegas, tapi mungkin lebih kepada memberi kesedaran sebab ini perlawanan persahabatan. Walaupun persahabatan, tapi kalau direstui oleh FAM, sistem itu tetaplah sama dengan Liga Super atau Liga Perdana.

"Semua (yang terbabit pergaduhan) akan kena termasuk pasukan tuan rumah, bukan sahaja pemain. Apa yang pasti FAM akan kaji semua sebelum buat keputusan termasuk tahap keselamatan yang disediakan tuan rumah untuk pertandingan itu," katanya.

Terdahulu, pada pertemuan terakhir Piala Menteri Besar Terengganu antara TFC II menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dicemari insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Insiden pada minit ke-45 itu menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin selepas sepakan penalti yang diambil kapten pelawat, Endrik Dos Santos gagal disempurnakannya.

Susulan itu berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad menepis sepakan itu yang kemudiannya berakhir dengan pergaduhan.

Seorang pemain TFC II, Ridzuan Razali dan pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra'op mengalami kecederaan serius di hidung.

Aksi itu yang terhenti kira-kira 45 minit ketika TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30 tidak disambung semula pengadil atas faktor tertentu dan tuan rumah dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Besar Terengganu selepas menamatkan kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 9:07 PM