Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
BERNAMA

Putrajaya: Dua pasukan Liga Perdana, Perak FC dan UiTM FC terus bertanding pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022 selepas masing-masing melengkapkan proses pendaftaran pemain pada tarikh akhir semalam.

Bagaimanapun, Perak FC bakal mengharungi pusingan pertama tanpa tiga pemain baharu antaranya bekas bintang skuad kebangsaan Indra Putra Mahayuddin.

Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata Perak FC mendaftarkan jumlah minimum ditetapkan iaitu 20 pemain sementara UiTM FC mendaftarkan 25 pemain.

"Sehingga 12 malam tadi MFL menerima 20 pendaftaran Perak FC dan 25 pendaftaran dari UiTM FC dan pada masa ini semakan dokumen sedang dilakukan sekretariat MFL.

"Saya sahkan mengikut pendaftaran memang cukup dan dalam masa singkat ini sehingga perlawanan pada 4 dan 5 Mac saya rasa tiada masalah untuk kedua-dua pasukan bertanding," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran RTM Selaku Rakan Penyiar Unifi Liga-M 2022 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini.

Pada masa sama, Stuart berkata 20 pemain didaftarkan Perak FC terdiri daripada pemain skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia musim lalu.

Ia sekali gus menyaksikan Indra Putra, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Ahmad Syamim Yahya yang menyertai Perak FC untuk menghadapi cabaran musim 2022 tidak berada dalam senarai berkenaan.

"Tiada pemain baharu, mengenai status ketiga-tiga pemain itu saya rasa lebih wajar Perak FC memberi penjelasan," katanya.

Sebagai rekod, media melaporkan Perak FC berdepan isu sekatan pendaftaran pemain baharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import selain turut berkaitan pembayaran kepada ejen pemain.

Sementara, UiTM FC dilaporkan menghadapi kekangan kewangan bagi mengharungi musim 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 9:04 PM