KETUA Pegawai Operasi, FMLLP, Mohd Shazli Shaik Mohd. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Pegawai Operasi, FMLLP, Mohd Shazli Shaik Mohd. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi peringatan kepada 24 pasukan yang akan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan supaya melengkapkan pendaftaran pertama pemain pada Khamis ini.

Berdasarkan peraturan Liga M yang ditetapkan, setiap pasukan diwajibkan mendaftar 20 pemain termasuk tiga penjaga gol terlebih dahulu sebelum senarai penuh 30 pemain pada 20 Februari depan.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd percaya semua pasukan tidak berdepan masalah membuat pendaftaran kerana sudah diberikan masa yang cukup sebaik pendaftaran dibuka pada 29 November tahun lalu.

“Semua pasukan sudah dimaklumkan mengenai pendaftaran awal 20 pemain pada 10 Januari ini. Pemain yang didaftarkan ini penting untuk pasukan beraksi pada perlawanan pertama pada 1 Februari depan.

“Selain 20 pemain, mereka juga diwajibkan mendaftar tujuh pegawai pasukan dan berdasarkan perjumpaan pihak MFL dengan pasukan bertanding sebelum ini, mereka nampak sudah bersedia untuk mendaftarkan pemain.

“Cuma sebelum ini ada pasukan berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain import kerana memerlukan dokumen tertentu termasuk ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa),” katanya.

Mengulas lanjut Shazli berkata, kebanyakan pasukan sudah biasa dengan prosedur pendaftaran pemain ini malah MFL memudahkan lagi urusan pendaftaran itu dengan menggunakan sistem FAM MYPass bagi menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sejak 2017.

“Kebanyakan pasukan sudah biasa beraksi dalam liga kita dan mereka tahu mengenai prosedur pendaftaran ini. Kita juga tidak melakukan sebarang perubahan melainkan memudahkan lagi proses ini dengan menggunakan sistem FAM MYPass,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 6:56 PM