STUART (kanan) bersama Syed Nasir pada sidang media FIB mengenai keputusan pelesenan kelab Liga Super dan kelab AFL M3, hari ini. FOTO ihsan MFL
STUART (kanan) bersama Syed Nasir pada sidang media FIB mengenai keputusan pelesenan kelab Liga Super dan kelab AFL M3, hari ini. FOTO ihsan MFL
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Tindakan Kelantan FC yang 'mengutip' pemain muda daripada skuad simpanan yang beraksi di Liga MFL (Liga Bolasepak Malaysia) tidak salah, namun ia memberi gambaran negatif kepada saingan liga tempatan.

Ketua Pegawai Eksekitif MFL, Datuk Stuart Ramalingan berkata, pihaknya maklum mengenai kenyataan jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera mengenai pemilihan pemain pasukan itu bagi menghadapi baki aksi liga.

"Kita tahu pasukan Kelantan menggunakan pemain daripada pasukan B-23.

"Saya rasa maksud jurulatih Kelantan itu adalah dahulu, pemain B-23 kebiasaannya yang tidak digunapakai di Liga Super terpaksa dipanggil balik kerana tak cukup pemain.

"Ini kerisauan daripada pengurusan MFL mengenai komen itu. Tidak salah daripada komen beliau, tetapi menjadi 'Red Flag' kepada MFL, dalaman pasukan operasi pasukan Liga Super.

"Pasukan yang amat besar seperti Kelantan diharapkan dapat menguruskan cara dalaman pasukan supaya tidak memberikan imej negatif kepada Liga Super," katanya pada sidang media First Instance Body (FIB) berkenaan keputusan pelesenan kelab Liga Super dan kelab AFL M3.

Hadir sama, Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Menerusi laporan Arena Metro hari ini, Vera berkongsi realiti sebenar masalah membabitkan pasukannya hingga merekodkan jumlah bolos terburuk dalam sejarah Liga Malaysia sejak 1994.

Pada aksi Liga Super di Stadium Mini UiTM di Shah Alam kelmarin, skuad The Red Warriors (TRW) tumbang 0-7 di tangan Sabah FC, sekali gus melepasi angka 100 gol dibolosi musim ini dengan jumlah terkini 102 gol yang dilepaskan anak buah Vera.

Ujar Vera, beliau terpaksa mengutip pemain dari luar untuk menghadapi sesuatu perlawanan berbanding pasukan lain yang memiliki barisan pemain tetap sepanjang musim.

"Di sinilah persoalan ditanya media mengenai keputusan akan dibuat oleh MFL mengatasi minoriti, tetapi keputusan impak kepada majoriti.

"Itu yang kami daripada MFL mewakili 14 pasukan dan bukan satu liga sahaja. Mana-mana tindakan kita ambil tidak boleh beri impak kepada 14 pasukan lain semata-mata untuk jaga satu pasukan," kata Stuart lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 6:35 PM