UiTM FC dapat dana RM3.7 juta. FOTO FB UiTM FC.
UiTM FC dapat dana RM3.7 juta. FOTO FB UiTM FC.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib UiTM FC berubah di saat akhir pendaftaran pemain hari ini apabila disahkan menerima suntikan dana berjumlah kira-kira RM3.7 juta untuk meneruskan perjuangan di Liga Premier musim 2022.

Ini bermakna, UiTM FC sekali lagi terselamat untuk tempoh semusim apabila dana berkenaan dapat digunakan pasukan terbabit mengharungi saingan Liga Premier bermula awal bulan depan.

Menurut sumber, dana berkenaan diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengelak daripada pasukan terbabit 'berkubur' kerana kekurangan sumber kewangan.

Pada peringkat awal, pasukan UiTM FC akan menggunakan khidmat pemain dalam kalangan pelajar universiti sebelum mempertimbangkan mengambil awang import pada jendela perpindahan seterusnya kelak.

"UiTM FC akan teruskan saingan Liga Premier pada musim ini apabila sudah menerima peruntukan daripada KPT untuk menyiapkan pasukan. "Dana berkenaan sebenarnya tidak cukup namun percaya dalam tempoh terdekat ini ada beberapa penaja akan masuk untuk membantu pasukan. "Pendaftaran pemain pula akan diselesaikan hari ini sekali gus menjawab segala persoalan mengenai penyertaan UiTM dalam saingan Liga Premier musim ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, timbul desas desus apabia UiTM FC bakal menjadi pasukan pertama dari Liga M yang menarik diri dalam saingan musim 2022.

Situasi itu bertiup kencang apabila pasukan bertaraf universiti itu kekurangan dana untuk meneruskan saingan musim ini sekali gus menyaksikan lebih separuh pemain termasuk barisan kejurulatihan 'angkat kaki' ke kelab lain.

Hal ini secara tidak langsung UiTM FC boleh dikatakan 'patah kaki' untuk menyiapkan pasukan apabila dana yang diterima untuk musim ini dipotong lebih 50 peratus sekali gus kelab pernah beraksi di Liga Super itu tidak boleh membeli pemain baharu.

Lebih malang lagi, kekurangan penaja menyebabkan segala perancangan pasukan terbantut dan pengurusan pasukan itu dilihat bergelut untuk menentukan hala tuju kelab berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 2:28 PM