Safuwan Baharudin ketika menjalani latihan bersama Selangor. FOTO Ihsan Selangor FC
Safuwan Baharudin ketika menjalani latihan bersama Selangor. FOTO Ihsan Selangor FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain tengah Selangor FC, Safuwan Baharudin, tidak menolak kemungkinan akan mengakhiri kariernya bersama kelab di negara ini selepas 11 tahun mewarnai pentas Liga Malaysia.

Tidak menyangka boleh beraksi untuk tempoh lebih sedekad di sini, Safuwan akui banyak kenangan yang sukar dilupakan sejak bersama empat pasukan berbeza iaitu LionsXII, PDRM, Pahang dan Selangor.

Sudah merasai nikmat menjulang Liga Super dan Piala FA, impian Safuwan sebenarnya masih tidak lengkap kerana belum pernah menjulang Piala Malaysia bagi melengkapkan semua koleksi kejuaraan di Liga Malaysia.

"Pejam celik.. tidak sangka sudah 11 tahun saya ada di sini, iaitu sudah lebih satu dekad bermain di Liga Malaysia.

"Banyak kenangan tidak boleh dilupakan semasa saya di sini antaranya memenangi Liga Super bersama LionsXII pada musim 2013, gelaran pertama yang saya capai di Liga Malaysia dan antara pencapaian terbaik dalam karier.

"Kemudian, Piala FA ketika dengan Pahang pada 2018, itu menjadi salah satu kenangan paling manis kerana masa itu saya beraksi atas status pemain import.

"Cuma satu-satunya trofi yang saya belum menangi ketika ini ialah Piala Malaysia, harap saya boleh memenangi pada tahun ketiga di Selangor," katanya.

Selain pernah bermain dengan Young Lions ( S League) di awal pembabitan kariernya, Safuwan yang juga antara tonggak utama skuad kebangsaan Singapura pernah bermain selama tiga bulan secara pinjaman di Australia pada 2015.

Dia yang bersama Melbourne Victory turut menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan A League.

Selepas bersama dengan LionsXII pada musim 2012 hingga 2015, Safuwan ke PDRM pada dua musim berikutnya sebelum bersama Pahang pada 2018 dan 2019.

Bersama Selangor untuk musim 2022, ini akan menjadi tahun ketiga Safuwan di skuad Red Giants sekali gus mengharapkan boleh mencipta kejayaan buat Selangor selepas lalui tempoh yang suram.

"Harap musim ini, Selangor boleh terus konsisten sepanjang musim kerana perkara ini yang saya tidak dapat dalam dua musim lalu sepanjang berada di sini.

"Kehadiran empat pemain import baharu serta beberapa pemain tempatan memang satu perubahan yang baik namun seperti mana saya katakan, bagaimana kita boleh konsisten sepanjang musim kerana perkara itu paling utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 2:46 PM