Safuwan sah bersama Negeri Sembilan FC. FOTO Ihsan NSFC.
Safuwan sah bersama Negeri Sembilan FC. FOTO Ihsan NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Menjelang aksi pembuka tirai Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super, Ahad ini, skuad berkenaan mendapat suntikan semangat apabila pemain kebangsaan Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin, disahkan bersama pasukan itu musim ini.

Pemain berpengalaman berusia 32 tahun itu disahkan sudah menandatangani kontrak dengan skuad Hobin Jang Hobin semalam.

Dalam satu kenyataan kelab terbabit menjelaskan Safuwan akan beraksi bersama NSFC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.

"Safuwan bukanlah nama asing dalam saingan Liga Malaysia. Dia pernah beraksi bersama pasukan PDRM FC, Sri Pahang FC dan Selangor FC.

"Beliau berasal dari Singapura dan bermain di bahagian pertahanan. Memiliki ketinggian 181 sentimeter dan kehadirannya pasti akan dapat membantu bahagian pertahanan pasukan Negeri Sembilan.

"Selamat datang Safuwan ke Paroi," kata kenyataan itu.

Safuwan menjadi pemain terakhir yang menyertai skuad berkenaan sebelum berakhir jendela perpindahan.

Sebagai rekod, Safuwan adalah pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi seperti pertahanan tengah dan juga perancang tengah pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:03 PM