PERTEMBUNGAN FELDA dan Johor DT di Selayang.
PERTEMBUNGAN FELDA dan Johor DT di Selayang.

Selepas dibelasah di gelanggang sendiri oleh Barcelona, maka Real Madrid akan ke Eibar untuk sedikit sebanyak menebus maruah.

Perasaan malu atau perasaan dendam yang akan timbul selepas diperbudak-budakkan di depan penonton sendiri bakal kita saksikan. Barcelona pula menjadi tuan rumah kepada kunjungan Real Sociedad yang sudah melucutkan jawatan David Moyes sebagai jurulatih.

Jurulatih British ini gagal mengendalikan Manchester United dan kini tidak berupaya membuktikan kebolehan melatih di luar United Kingdom. Satu lagi bukti kesempitan minda terhadap inovasi bola sepak masih mengekang pembangunan bola sepak di Britain.

Apa jua yang dihidangkan dalam liga utama Eropah tetap tiada hujung minggu sebesar seperti di Malaysia. Perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia 2015 dipertandingkan dengan beberapa keputusan menarik daripada perlawanan pertama.

Mengikut keputusan perlawanan pertama yang menyaksikan Pahang menang selesa di gelanggang sendiri ke atas LionsXII menjadikan lawatan ke Stadium Jalan Besar hanya sekadar formaliti.

Tetapi susulan keputusan LionsXII tidak akan meneruskan hubungan bersama Liga Super, bakal digunakan mereka sebagai motivasi terbaik. Ini peluang untuk pemain Singapura membuktikan kebolehan sekali lagi dan meletak diri mereka di ‘shop window’. Ramai pemain Singapura berkebolehan untuk mengisi slot pemain asing Asia dalam Liga Malaysia.

Antara pemain paling menarik adalah Safuwan Baharuddin yang juga pemain paling versatil di Asia Tenggara. Dia dikenali sebagai pemain pertahanan tapi selepas beraksi di Australia kini pemain tengah yang efektif dan seterusnya boleh beraksi sempurna sebagai penyerang.

Pemain sayap, Faris Ramli pula sudah selesa beraksi dalam Liga Malaysia dan sudah tiba masanya untuk dia beraksi di peringkat atau tahap lebih tinggi daripada Liga S.

Pertembungan di Singapura kini sudah digelar ‘Cup Final’ dan pasukan LionsXII sekurang kurangnya menang perlawanan suku akhir kedua ini tapi kemenangan sebenar tetap di tangan Pahang.

Selangor pula sudah membawa pulang keputusan terbaik dari Kuching dengan keputusan 2-1 memihak kepada mereka untuk meletakkan Red Giants sebagai pilihan ke separuh akhir. Untuk perlawanan seterusnya, Selangor harus konsisten dengan corak permainan serta taktik yang praktikal. Kelayakan ke separuh akhir lebih penting daripada menyajikan satu ‘persembahan’. Sikap profesional perlu kerana ada masa masanya perlawanan di Shah Alam menjadi pentas untuk ‘tarian individu’ dan bukan kepentingan pasukan.

Sementara itu, PKNS pula boleh menantikan lawatan Kedah dengan kesabaran dan ketenangan. Keputusan seri 1-1 di Alor Setar bermakna Kedah terpaksa menyerang untuk mencari gol di tempat lawan atau kemenangan. PKNS sudah membuktikan kebolehan sebagai pasukan yang memang sukar diatasi. Kehadiran pemain tengah Gabriel Guerra memberi kelebihan kerana dia seorang pemain tengah yang berkemahiran keseluruhan.

PKNS dijangka melangkah ke separuh akhir tetapi perlawanan ini sebenarnya masih terbuka.

Dua pasukan yang saya ramalkan akan ke pentas final tapi kini kita terpaksa kehilangan sebuah pasukan. Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan FELDA United terpaksa bertemu di suku akhir dan selepas seri 1-1 sudah pasti lawatan ke Larkin akan membawa kesengsaraan buat pasukan lawat. Keputusan seri dengan jaringan satu keputusan terbaik kerana pengendali pasukan Johor DT Mario Gomez adalah pakar dalam mengurus perlawanan. Kepakaran beliau dalam ‘game management’ menjadi sesuatu yang istimewa apabila merancang taktik untuk menghadapi sesuatu situasi.

Situasi terkini adalah pihak lawan terpaksa mengambil inisiatif untuk menyerang dan Gomez akan memasang jerat. Gomez selalunya mempunyai helah dalam inventori beliau.

Pengendali FELDA Irfan Bakti Abu Salim pula membawa kemajuan serta pencorak taktikal apabila meletakkan pasukan itu di tempat kelima Liga Super 2015. Ini meletak pasukan FELDA sebagai pasukan kelab terbaik di Malaysia. Kini cabaran terbesar menanti mereka dan Stadium Larkin pula bukan pusat pelancongan.

Di Larkin, ada kalanya, 200 peratus masih tidak mencukupi dan pasukan yang layak ke separuh akhir dari gelanggang ini bakal muncul juara Piala Malaysia 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:06 AM