Zubir tidak bersama Pahang musim 2020. FOTO NSTP
Zubir tidak bersama Pahang musim 2020. FOTO NSTP
Asrol Awang


BEKAS pemain kebangsaan, Zubir Azmi mengesahkan kontraknya bersama Pahang tidak dilanjutkan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Justeru, pemain kelahiran Terengganu itu berkata, dia sudah mula mencari pasukan baharu untuk meneruskan kerjaya selepas menabur bakti bersama skuad Tok Gajah selama tiga musim sejak 2017.

"Setakat ini, saya ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan dan yang pasti saya mahu bermain dalam saingan Liga Super musim depan.

"Saya harap dapat membantu pasukan baru nanti mencipta kejayaan," kata pemain berumur 28 tahun itu.

Mengulas pengalaman selama tiga musim bersama skuad Tok Gajah, Zubir berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), barisan kejurulatihan dan penyokong.

Pemain pertahanan itu berkata, banyak kenangan pahit dan manis selama tiga musim bersama pasukan yang hebat itu.

"Saya memohon maaf sekiranya ada salah laku sepanjang bersama Pahang. Sudah pasti saya merindui suasana di Stadium Darul Makmur," katanya.

Selain Zubir, dua pemain import, Saddil Ramdani dari Indonesia dan Safuwan Baharudin (Singapura) mengesahkan meninggalkan skuad Pahang.

Difahamkan, beberapa pemain termasuk import juga dikatakan akan meninggalkan Pahang.

Musim ini, skuad kendalian Dollah Salleh gagal meraih piala termasuk mempertahankan Piala FA dimenangi musim lalu.

Pencapaian terbaik dalam saingan Liga M musim ini ialah muncul selaku naib juara Liga Super manakala masing-masing misi Piala FA dan Piala Malaysia tersekat di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:38 PM