SKUAD B-23 Kebangsaan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja, semalam. FOTO FAM
SKUAD B-23 Kebangsaan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja, semalam. FOTO FAM
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyertaan Skuad B-23 Kebangsaan kendalian Brad Maloney selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja bawah 23 (B-23) tahun negara pada Piala AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja, bukan untuk 'makan angin' namun sebenarnya mereka mempunyai misi lebih penting iaitu perlu memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) supaya mampu mengharungi kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

Malah, penarikan diri pencabar terdekat pasukan negara iaitu Indonesia akibat penularan Covid-19 dalam kalangan pemain mereka sudah pastinya memberi nilai tambah untuk meraih pencapaian positif pada kejohanan itu.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan B kini boleh dilihat tidak berhadapan masalah untuk meraih keputusan cemerlang berikutan hanya perlu berhadapan dengan Myanmar dan Laos untuk mara ke pusingan separuh akhir.

Pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney berkata, ketika ini barisan anak buahnya menunjukkan prestasi memuaskan, sekali gus sudah bersedia menggalas cabaran untuk membawa pulang 'hadiah' buat penyokong bola sepak tanah air.

Beliau berkata, walaupun persediaan boleh dikatakan agak singkat, barisan pemain menunjukkan komitmen tinggi termasuk keserasian dalam pasukan juga semakin baik.

Katanya, perkara penting ketika ini adalah pemain perlu segera menyesuaikan dengan strategi dan corak permainan yang diterapkan dalam pasukan selain kurang melakukan kesilapan hingga menyebabkan gawang dibolosi.

"Saya melihat pemain semakin baik terutama ketika menjalani latihan dalam tempoh singkat. Pada masa sama, saya juga turut mahu mereka segera memahami taktikal yang diterapkan seterusnya terjemah pada perlawanan kelak.

"Ketika ini, kami sudah membariskan 28 pemain namun tidak dapat beraksi bersama adalah Kaka (Nur Azfar Fikri Azhar)…dia akan menyertai pasukan kelak," katanya.

Berdasarkan jadual perlawanan, Malaysia akan membuka tirai kempen dengan berdepan Myanmar di Stadium Prince pada Selasa ini, diikuti Laos tiga hari kemudian di venue sama.

Indonesia sepatutnya menjadi lawan terakhir di peringkat kumpulan pada 21 Februari ini di Stadium Nasional Morodok Techo sebelum aksi separuh akhir dan final masing-masing berlangsung pada 24 dan 26 Februari.

Selepas kejohanan Piala AFF B-23 dan Sukan Sea 2020, skuad muda negara mengalihkan tumpuan untuk dua tugasan penting pada saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan dan temasya Sukan Asia di China.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 7:00 AM