PEMAIN tengah Thailand, Sanrawat Dechmitr bakal memperkuatkan KDA FC. FOTO ihsan KDA FC
PEMAIN tengah Thailand, Sanrawat Dechmitr bakal memperkuatkan KDA FC. FOTO ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengikat pemain tengah dari Thailand, Sanrawat Dechmitr pada jendela perpindahan kedua pada musim ini.

Kemasukan Sanrawat yang juga pemain kebangsaan Thailand musim 2019 itu diumumkan secara rasmi, hari ini, sebagai pemain kuota Asean menggantikan Dennis Buschening yang kini melalui proses pemulihan akibat kecederaan.

Pemain berusia 32 tahun itu membawa reputasi hebat dari Thailand apabila turut berada dalam kesebelasan terbaik saingan Piala AFF 2018 selain memiliki pengalaman bermula dengan Tampines Rovers, Bangkok Glass, BEC Tero Sasana, Bangkok United dan Ratchaburi FC sebelum menyertai KDA FC.

Selain kemampuan menghantar bola dan membuat umpanan tepat ketika menyerang, pemain itu dikatakan turut memiliki sentuhan kreatif.

"KDA FC mencapai persetujuan dengan pemain Bangkok United FC, Sanrawat Dechmitr sebagai pemain pinjaman untuk baki saingan musim 2022.

"Sebelum ini, pemain yang dikenali sebagai Camp ini dipinjamkan ke Ratchaburi Mitr Pol.

"Kehadiran Sanrawat bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukan KDA FC dan akan mengisi slot Asean menggantikan Dennis Buschening yang masih dalam pemulihan kecederaan.

"Kehadiran beliau bakal diuji dalam perlawanan persahabatan menentang Perak, malam ini dan akan turut menjadi tonggak untuk saingan Piala AFC pada hujung bulan ini," menurut kenyataan media rasmi KDA FC.

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, pemilihan Sanrawat berdasarkan pengalaman di peringkat tertinggi dan kualiti permainan dimilikinya.

"Pengalaman dan kualiti permainan dimiliki Sanrawat antara faktor beliau dipilih bersama pasukan pada baki saingan musim ini.

"Saya berharap beliau dapat memberi impak terbaik buat pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 7:41 PM