PENGALAMAN Sanrawat ditagih KDA FC pada saingan Piala AFC di Bali, minggu depan. FOTO ihsan KDA FC
PENGALAMAN Sanrawat ditagih KDA FC pada saingan Piala AFC di Bali, minggu depan. FOTO ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sanrawat Dechmitr bertekad menyumbang pengalaman dimilikinya bagi membantu pasukan berjuang pada saingan Piala AFC di Bali, Indonesia, minggu depan.

Pemain tengah kuota Asean berusia 32 tahun dari Thailand itu berkata, faktor sekeliling di Kedah banyak membantunya cepat menyesuaikan diri selepas seminggu bersama skuad Sang Kenari yang sedang melakukan latihan persiapan berintensiti tinggi.

"Persiapan saya bersama pasukan dalam keadaan baik dan semua di sini memberi sokongan dalam semua hal sehingga saya rasa gembira serta merasakan seperti berada di negara sendiri.

"Piala AFC adalah pentas mencabar kewibawaan semua pasukan dan saya berharap dapat membantu Kedah membawa misi kejayaan dirancang pasukan.

"Saya kini menumpukan sepenuh fokus dalam persiapan pasukan sebelum kami bertolak ke Indonesia dan mahu memberi 100 peratus pada saingan berkenaan," katanya.

Kemasukan Sanrawat ke skuad Sang Kenari pada jendela perpindahan kedua musim ini adalah bagi menggantikan kekosongan kuota Asean ditinggalkan pemain tengah, Dennis Buschening yang kini sedang menjalani tempoh pemulihan akibat kecederaan.

Sanrawat memiliki bakat melakukan hantaran pantas dari ruang tengah bagi meningkatkan tempo serangan dan pengalamannya beraksi bersama skuad kebangsaan Thailand pada saingan Piala AFF 2018 amat ditagih pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 5:08 PM