SKUAD PUFC menjalani latihan semalam. FOTO PUFC
SKUAD PUFC menjalani latihan semalam. FOTO PUFC
BERNAMA

Kangar: Setelah tiga tahun menyepi, skuad baharu Singa Utara memasang angan-angan untuk beraksi semula di Liga Perdana pada musim hadapan.

Peneraju baharu Perlis United Football Club (PUFC) Azizul Abidin berkata PUFC optimis dengan kemampuan pasukan kendaliannya yang akan mula beraksi dalam Liga Malaysia Divisyen 3 (M3) pada Febuari ini.

"Kita akan mengekalkan sebahagian pemain lama di samping terus mencari muka baharu sebelum memulakan perlawanan sulung yang dijadualkan bermula pada 11 Feb ini," katanya hari ini.

Azizul yang mula diberikan kepercayaan mengemudi skuad Singa Utara pada Sabtu lalu (1 Jan) berkata anak didiknya telah mula menjalani latihan pertama pada Selasa (4 Jan).

"Dah nama pun Perlis United, saya harap kekuatan pasukan kita terletak pada semangat 'unity' (kerjasama dalam pasukan) dan itulah menjadi harapan bagi saya dan pasukan," katanya.

Ketika ditanya mengenai strategi perlawanan, Azizul berkata seperti pasukan lain fokus utama pasukan untuk mengumpul mata sejak awal perlawanan lagi.

"Dalam PUFC tiada istilah 'ayam tambatan', bagi kita semua pemain dilayan setara dan mereka perlu bermain secara berpasukan," katanya.

Azizul berkata beliau masih belum memilih kapten pasukan dan keputusan akan dibuat dalam masa seminggu lagi.

Katanya beliau percaya dengan kemampuan pemain tempatan yang berasal daripada Perlis dan 99 peratus pemain PUFC terdiri daripada anak jati Perlis.

Sebagai rekod, PUFC mula ditawarkan menyertai M3 pada musim 2021 namun liga tersebut terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 8:11 PM