HAMIDIN (tengah) bergambar bersama delegasi FAM dan PFA. FOTO FAM
HAMIDIN (tengah) bergambar bersama delegasi FAM dan PFA. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) perlu bangkit dan terus berjuang dalam menghidupkan kembali sukan bola sepak negeri itu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengadakan kunjungan hormat FAM ke atas PFA di Kangar, Perlis hari ini yakin skuad Singa Utara akan kembali menggegar arena bola sepak negara selepas ini.

Malah katanya, FAM turut menawarkan kelab Bola Sepak Perlis United (PUFC) untuk menyertai beberapa liga tempatan musim ini sekali gus penyokong bola sepak Perlis dapat melihat kembali pasukan mereka beraksi semula di pentas Liga Malaysia.

"Saya yakin Perlis akan bangkit kerana landasan itu sudah ada yang mana mereka mempunyai akademi dan liga sendiri (Akademi Star Lion Perlis FA dan Liga Perlis) malah PUFC juga sudah masuk ke dalam Liga M3.

"Ini usaha yang besar dan harus dipuji kerana ia membuktikan komitmen Perlis dalam membangunkan semula bola sepak negeri," kata Hamidin di laman sosial Facebook rasmi FAM, hari ini.

Jelasnya, FAM sememangnya sentiasa memberi khidmat sokongan dan bantuan dari sudut urus tadbir, teknikal serta pembangunan pertandingan kepada ahli gabungan.

"Menjadi hasrat dan cita-cita FAM untuk sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan ahli gabungan," katanya.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Presiden PFA, Zamri Ibrahim berkongsi maklumat terkini mengenai keadaan semasa bola sepak negeri yang mana 2022 disifatkan PFA sebagai kebangkitan semula pasukan Singa Utara.

Zamri turut menambah pihaknya akan sentiasa memastikan PFA mematuhi peraturan bola sepak FAM dalam usaha menaikkan lagi mutu serta prestasi pasukan.

"Kita juga berterima kasih dengan Datuk Hamidin dan FAM yang banyak menyalurkan sokongan sehingga mampu kembali berada di landasan yang tepat ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 5:23 PM