BARISAN kejurulatihan dan pemain Perlis United FC bertemu dengan Exco Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan (berkopiah) di Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Kompleks DUN Perlis, Kangar bagi membincangkan permasalahan tunggakan gaji yang melanda kelab itu. FOTO IHSAN PERLIS UNITED FC
BARISAN kejurulatihan dan pemain Perlis United FC bertemu dengan Exco Belia dan Sukan negeri, Muhammad Azmir Azizan (berkopiah) di Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, Kompleks DUN Perlis, Kangar bagi membincangkan permasalahan tunggakan gaji yang melanda kelab itu. FOTO IHSAN PERLIS UNITED FC
Aizat Sharif


Kangar: Belum pun saingan Liga M3 Malaysia berakhir, kelab Perlis United FC (PUFC) berdepan dengan masalah dalaman apabila pegawai dan pemainnya mahu isu tunggakan gaji mereka bagi bulan Ogos dapat diselesaikan secepat mungkin dalam menghadapi baki empat perlawanan musim ini.

Masalah yang berlaku itu dilihat merencatkan kelab berpangkalan di Kangar itu yang kini bergelut dalam saingan Liga M3 apabila berada di tempat ketujuh daripada 13 pasukan yang bertanding.

Penolong Pengurus PUFC, Muhamad Khairulnizam Haris berkata, situasi itu juga ternyata menjejaskan 'periuk nasi' pemain dalam menyara keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup mereka ekoran daripada tunggakan pembayaran gaji itu.

"Kelab memerlukan peruntukan sebanyak RM100,000 dalam membayar tunggakan gaji yang sememangnya memberi kesan kepada pihak pengurusan dan pemain.

"Malah, ada pemain yang baharu sahaja menerima kehadiran bayi baru dan mereka juga perlu membayar komitmen bayaran sewa rumah, kereta dan pelbagai lagi," katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Katanya, kehadiran pemain kelab itu dalam sesi latihan juga dilihat begitu merosot berikutan daripada permasalahan yang berlaku dimana ia dilihat sedikit sebanyak menjejaskan motivasi mereka untuk terus beraksi bagi baki saingan liga musim ini.

"Perkembangan ini amat merugikan pasukan yang sedang berada pada landasan terbaik bagi menamatkan saingan dalam Liga M3 musim ini.

"Malah, sekiranya PUFC menarik diri daripada saingan musim ini, kita akan berdepan hukuman penggantungan selama tiga tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 2:24 PM