GAMEL berkata faktor kecederaan menyukarkan pasukannya. FOTO Asrol Awang
GAMEL berkata faktor kecederaan menyukarkan pasukannya. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Biarpun persiapan Sri Pahang FC ketika pramusim tidak berjalan mengikut perancangan, ketua jurulatih, Christophe Gamel memandangnya daripada sudut positif.

Jurulatih berumur 50 tahun itu berkata, segalanya bermula dengan baik terutama ketika menjalani latihan pusat Muadzam Shah, Rompin.

"Namun, faktor kecederaan beberapa pemain menyebabkan segala yang dirancang menjadi rumit tetapi ia perlu diteruskan.

"Memang untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemain tidak seperti yang diinginkan tetapi saya tetap gembira.

"Ini kerana saya dapat menguji pemain muda terutama ketika aksi persahabatan di Terengganu baru-baru ini," katanya.

Ditanya barisan pemain muda yang akan diketengahkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, beliau turut menyenaraikan beberapa pemain Piala Presiden musim lalu menyarung skuad senior.

Katanya, empat pemain dinaikkan pangkat dan kemungkinan khidmat pemain muda lain akan ditagih dalam saingan liga musim ini.

"Diharapkan musim ini semua pemain termasuk import dapat memberikan persembahan yang terbaik buat pasukan," katanya.

Musim ini, Sri Pahang FC menyasarkan lima kedudukan teratas dalam saingan Liga Super.

Sasaran itu berdasarkan perubahan yang dilakukan kelab itu dalam menghadapi saingan Liga M terutama dibarisi sebahagian besar pemain baharu.

Sri Pahang bukan sahaja akan berdepan pasukan lebih kuat malah cabaran lain ialah berdepan wabak Covid-19 yang memerlukan disiplin tinggi dalam menyekat penularan wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 4:32 PM