PEMAIN Sri Pahang FC menjalani latihan di Pekan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang FC menjalani latihan di Pekan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mengesahkan penyertaan pada kejohanan bola sepak empat penjuru di Kuala Terengganu pada 5-9 Februari ini.

Pada kejohanan itu, selain Sri Pahang, dua pasukan tuan rumah, Terengganu FC (TFC) dan TFC II serta Penang FC akan memeriahkan kejohanan bagi merebut Piala Menteri Besar Terengganu 2022 itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, penyertaan skuad Tok Gajah itu lebih kepada persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Kejohanan lebih melihat kepada pembentukan pasukan kerana disertai barisan pemain baharu termasuk import.

"Selain taktikal, persefahaman antara pemain diberikan keutamaan oleh ketua jurulatih (Christophe Gamel) sepanjang kejohanan itu.

"Secara peribadi, saya lebih melihat kepada persediaan semua pemain untuk menghadapi cabaran sebaik Liga M bermula Mac depan," katanya.

Kejohanan itu akan diadakan di dua venue iaitu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pada masa sama, Mohammed Suffian berkata, sebagai persediaan ke Terengganu, skuad kendalian Gamel itu menjalani latihan pusat di Pekan sejak kelmarin.

Katanya, latihan itu dalam usaha membentuk persefahaman dan keserasian pemain selepas berehat.

"Sebelum ini Sri Pahang menjalani latihan pusat selama sebulan di Muadzam Shah, Rompin dan diharapkan segalanya berjalan mengikut perancangan," katanya.

Musim ini, Sri Pahang melakukan perubahan besar apabila melantik Gamel yang juga bekas ketua jurulatih Fuji membimbing skuad Tok Gajah musim ini.

Sri Pahang juga menyenaraikan lima import, termasuk empat import baharu iaitu Manuel Hidalgo, Mamadou Samassa, Mahmoud Za'tara, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 2:06 PM