Muhammad Faizal Mohd Arif. FOTO Sri Pahang
Muhammad Faizal Mohd Arif. FOTO Sri Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Pemain pertahanan Sri Pahang FC baharu, Muhammad Faizal Mohd Arif meletakkan sasaran untuk berada dalam senarai kesebelasan utama kelab itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Walaupun bakal bersaing dengan pemain yang jauh lebih berpengalaman, pemain berumur 27 tahun itu akan melakukan yang terbaik.

"Penghijrahan ke Sri Pahang musim ini sebagai titik permulaan dalam kerjaya bola sepak selepas enam musim bersama UiTM FC.

"Saya harap keputusan ini tepat untuk mengembangkan lagi prestasi pada tahap yang lebih tinggi.

"Oleh itu saya mengharapkan dapat merebut tempat dalam kesebelasan utama apabila saingan bermula nanti," katanya.

Pemain pertahanan itu bersama UiTM FC sejak 2016 ketika bersaing di Liga IPT dan menjadi tonggak yang membantu kelab itu layak ke Liga FAM, Liga Perdana dan Liga Super.

Dengan kepimpinan tinggi, Faizal diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan pada musim lalu.

Musim ini, Faizal antara sembilan pemain baharu yang diumumkan Sri Pahang termasuk dua import iaitu Johan Martial dan Mahmoud Za'tara.

Selain Fandi Othman, David Rowley, Sean Gan Gianelli, Azwan Aripin, Wan Amirzafran Wan Nadris dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 1:31 PM