NUR Azurin Mazlan sebelum berlepas ke India. FOTO PFA Malaysia
NUR Azurin Mazlan sebelum berlepas ke India. FOTO PFA Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Benarkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terlepas pandang pemain wanita pertama negara yang beraksi di liga luar negara, Nur Azurin Mazlan?

Dakwaan itu wujud selepas penjaga gol pasukan kebangsaan itu langsung tidak menyebut bantuan daripada FAM di laman sosialnya sebelum berlepas ke India bagi menyertai Misaka United yang beraksi di Liga Wanita India.

Menerusi ucapan terima kasihnya di akaun rasmi Facebook miliknya, Azurin mengakui gembira impian untuk berkelana beraksi di luar negara akhirnya menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, ia tidak mudah direalisasikan apabila pelbagai halangan terpaksa ditempuhinya termasuk menagih bantuan kewangan dari pelbagai pihak termasuk bekas pemain.

Antara pihak yang menghulurkan bantuan adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Pemain BolaSepak Wanita Malaysia dan beberapa lagi persatuan.

Malah, bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar juga difahamkan memberi bantuan dari segi pek makanan buat pemain itu.

Namun yang agak mengejutkan, tiada langsung ucapan penghargaan buat FAM selaku badan pentadbir tempatan.

"Ini bukanlah satu perjalanan yang mudah. Saya menghadapi banyak kesukaran untuk membuat perkara ini berlaku. Saya hampir berputus asa kerana urusan yang memenatkan. Alhamdulillah, selepas semua suka dan duka, Allah permudahkan perkara ini.

"Saya bersyukur kerana saya dikelilingi oleh ramai orang yang menyokong keputusan saya untuk bermain di luar.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PFAM, KBSMalaysia, Dato 'Sri Ti lian Ker, Women's Social Futsal & Football Malaysia - WSFM, Persatuan Pemain BolaSepak Wanita Malaysia, @wifmalaysia, @znulariffinz dan Podya Ismail FSI atas bantuan & sokongan yang tidak pernah putus sepanjang perjalanan, dari mendapat visa sehinggalah saya kini berada di India.

"Saya benar-benar menghargainya! Semoga Allah merahmati anda semua. Juga tidak lupa, terima kasih kepada AdeqSue RSB @hai_o20 kerana memberikan saya makanan pek supaya saya tidak mengalami sebarang masalah makanan semasa saya di sini," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 8:20 PM