Nur Azurin Mazlan beraksi di liga India
Nur Azurin Mazlan beraksi di liga India
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memperoleh sebarang maklumat atau permohonan daripada Persekutuan Bolasepak Seluruh India membabitkan pemain wanita negara, Nur Azurin Mazlan akan beraksi di liga India.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar memaklumkan bahawa perkara terbabit penting sebelum pemain berkenaan dibenarkan beraksi bersama kelab atau pasukan di luar negara.

Beliau berkata, perkara itu sudah termaktub dalam peraturan yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) seterusnya perlu diikuti setiap negara bagi mengelak timbulnya masalah lain pada masa akan datang.

Katanya, isu membabitkan Nur Azurin adalah pasukan yang diwakilinya di India menggunakan saluran yang betul sekali gus FAM tidak boleh memberikan bantuan sewajarnya kerana kekurangan maklumat.

"Nur Azurin ke negara terbabit adalah secara persendirian iaitu tanpa surat daripada Persekutuan Bolasepak Seluruh India sekali gus FAM tidak mempunyai maklumat lengkap berkaitan pasukan diwakili atau perjalanan liga yang bakal disertainya itu.

"Jika melihat kepada kontrak yang ditawarkan, dia hanya akan beraksi dalam tempoh sebulan setengah saja tanpa dibayar gaji. Malah, pasukan terbabit yang berkemungkinan mewakili daerah hanya menyediakan tempat tinggal dan makanan saja.

"Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Jacob Joseph sudah menasihatinya berkaitan kontrak terbabit dan terpulanglah kepada pemain itu untuk menentukan keputusan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan kemungkinan FAM terlepas pandang terhadap pemain wanita pertama negara yang beraksi di liga luar negara itu apabila tiada bantuan sewajarnya diberikan oleh badan induk bola sepak negara terbabit.

Dakwaan itu wujud selepas penjaga gol pasukan kebangsaan itu langsung tidak menyebut bantuan daripada FAM di laman sosialnya sebelum berlepas ke India bagi menyertai Misaka United yang beraksi di Liga Wanita India.

Antara pihak yang menghulurkan bantuan adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Pemain BolaSepak Wanita Malaysia dan beberapa lagi persatuan.

Sementara itu, Saifuddin berkata, walaupun Azurin berkelana ke negara terbabit tanpa 'restu' daripada FAM namun, pihaknya tetap memantau pemain terbabit terutama membabitkan aspek keselamatan.

"Kita tetap memantau perkembangan dan keselamatan Azurin selain turut meminta bantuan pihak tertentu untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pasukan diwakilinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 1:38 PM