KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut gembira dengan kejayaan skuad Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan, apabila membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Menerusi rakaman video disiarkan menerusi akaun Facebook milik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Johor Southern Tigers, beliau berkata rekod tidak pernah menang sejak memegang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berakhir.

  

"Tidak kisah lawan Bhutan ker, budak sekolah ker, menang tetap menang. Sekurang-sekurangnya ada satu kemenangan,” katanya yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ).

  

"Mesyuarat (khas Jawatankuasa Eksekutif atau EXCO FAM) esok. Jadi ketika ini, jika berdasarkan rekod, saya masih presiden, esok baru bukan.

“Satu kemenangan, well done (syabas) Harimau Malaya. Terima kasih Harimau Malaya,".

  

Kemenangan 7-0 ke atas Bhutan malam tadi adalah pertama skuad Harimau Malaya yang kini dikendali Tan Cheng Hoe selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir sejak penghujung 2016.

Kali terakhir skuad kebangsaan merasai nikmat kemenangan pada 20 November 2016 selepas menundukkan Kemboja 3-2 pada aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar.

Mesyuarat khas EXCO FAM pada Isnin, dijadual membincangkan peletakan jawatan Tunku Ismail sebagai presiden badan induk bola sepak negara itu yang beliau serahkan secara rasmi pada 25 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 12:43 AM
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akui turut gembira di atas kejayaan skuad negara apabila membelasah Bhutan 7-0. - Foto Mohd Azren Jamaludin
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akui turut gembira di atas kejayaan skuad negara apabila membelasah Bhutan 7-0. - Foto Mohd Azren Jamaludin