PEMAIN-pemain Wanderers berlepas ke Arab Saudi menjelang perlawanan timbal balik kedua.
PEMAIN-pemain Wanderers berlepas ke Arab Saudi menjelang perlawanan timbal balik kedua.

Riyadh: Western Sydney Wanderers mampu lakar sejarah dalam bola sepak Asia apabila mempertahankan kelebihan 1-0 menjelang perlawanan akhir kedua Liga Juara-Juara AFC, hari ini.

Hanya dua tahun selepas penubuhannya, kelab dari Sydney itu makin hampir muncul kelab pertama Australia dinobat juara Asia.

Kemenangan ke atas kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal pasti memberi rangsangan tambahan buat Liga-A Australia ketika negara itu bersiap menjadi tuan rumah Piala Asia Januari ini.

Jaringan pemain gantian Tomi Juric pada minit ke-64 memberi kelebihan kepada Wanderers pada perlawanan pertama namun mereka perlu bekerja lebih keras menghadapi suasana gegak-gempita Stadium Raja Fahd.

“Kami tidak boleh sekadar bertahan,” jelas pemain pertahanan Daniel Mullen. “Jika kami melakukannya pasti mustahil andai mereka mendapat gol. Kami perlu turun dan menekan mereka seperti perlawanan pertama.”

Seorang pemain Al-Hilal yang cuba melakar sejarah adalah pemain tengah, Saud Khariri yang boleh muncul pemain pertama memenangi tiga pingat juara Liga Juara-Juara AFC selepas membantu kelab Saudi, Al-Ittihad merakam kemenangan berturut-turut pada 2004 dan 2005. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:21 AM