AKHYAR Rashid. FOTO Aizuddin Saad
AKHYAR Rashid. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Drama perpindahan Akhyar Rashid dari pasukan Kedah Darul Aman FC ke Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin panas apabila Kedah mempertahankan tuntutannya ke atas tonggak sayap berusia 22 tahun itu.

Ia selepas Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edward mengakui Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) sudah menolak tuntutan pampasan perpindahan Akyhar dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak mempunyai sebab menuduh JDT masih berhutang berkenaan isu terbabit.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron tampil mempertahankan hak pasukan itu dengan pihaknya masih boleh membawa isu berkenaan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM bagi dinilai semula.

"Untuk makluman Alistair, beberapa isu perlu dipertimbangkan melalui kesemua kronologi berkaitan kes berkenaan seperti berikut.

"Walaupun pertikaian di antara KFA dan Akhyar berhubung dengan kontrak pemain sudah diputuskan dan selesai antara kedua-dua pihak, KFA masih lagi berhak untuk menuntut pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar dari JDT melalui Jawatankuasa Rayuan FAM.

"Kenyataan Alistair berkenaan KFA tidak perlu yuran pembangunan dan tiada tuntutan dari KFA, perkara ini adalah tidak benar sama sekali memandangkan berlakunya proses perbincangan dan KFA masih menunggu satu tawaran pampasan daripada JDT bersesuaian yang akan dipersetujui oleh kedua-kedua pihak.

"Setiap tindakan yang diambil oleh KFA berhubung perkara ini adalah berdasarkan kepada nasihat guaman. KFA akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari masa ke semasa," katanya.

Ujarnya lagi, kenyataan Alistair tidak tepat dan meminta agarnya memahami fakta kes itu.

"Saya menasihati Alistair supaya menyemak semula segala fail serta memahami setiap keputusan berkaitan dengan kes tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan menuduh Presiden KFA membuat tuduhan tidak berasas terhadap JDT," katanya.

Untuk rekod, FAM sebelum ini memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar selepas pemain itu menamatkan kontraknya dengan Kedah pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 5:28 PM