Akhyar Rashid (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di JDT. FOTO Ihsan JDT
Akhyar Rashid (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di JDT. FOTO Ihsan JDT
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) menepis dakwaan tidak berasas mengenai kegagalan kelab terbabit melunaskan bayaran perpindahan pemain membabitkan Akhyar Rashid.

Jelas Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengecam skuad Harimau Selatan tidak membayar pampasan perpindahan pemain adalah tidak tepat.

Menurutnya, pihaknya pernah mengeluarkan cek bernilai RM100,000 pada 31 Disember 2018 selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan JDT untuk membayar yuran pembangunan sebanyak RM75,000.

Namun katanya, KFA memulangkan kembali cek berkenaan kerana mahu mengheret isu terbabit ke Mahkamah Timbang Tara.

Untuk rekod, FAM memutuskan bahawa yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar Rashid selepas pemain itu menamatkan kontraknya dengan Kedah.

"JDT bersetuju untuk membayar lebih dan sudah mengeluarkan sekeping cek kepada Kedah sebanyak RM100,000 pada 31 Disember 2018. Cek ini bagaimanapun dipulangkan oleh Kedah kerana mereka mahu membuat rayuan berkenaan perkara ini," katanya.

Ujarnya lagi, Mahkamah Timbang Tara kemudiannya membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM.

"Tidak ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT. Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas".

Terdahulu, Sanusi mendedahkan juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu masih gagal menjelaskan bayaran pampasan perpindahan pemain yang akhirnya sekadar memanaskan bangku simpanan hingga menjejaskan prestasi pemain berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:11 PM