ALISTAIR dakwa JDT tak campur tangan isu perpindahan Akhyar.
ALISTAIR dakwa JDT tak campur tangan isu perpindahan Akhyar.
Firdaus Hashim


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tidak akan tunduk dengan sebarang tuntutan perlu dibayar kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkenaan isu perpindahan pemain sayapnya, Akhyar Rashid.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, keputusan Pusat Timbang Tara (AIAC) yang berpihak kepada KFA tidak harus dikaitkan dengan Harimau Selatan kerana kes berkenaan hanya membabitkan Akhyar dan bekas majikannya itu.

Malah, pihaknya tidak pernah mencampuri urusan perpindahan pemain sayap berasal dari Jitra, Kedah itu yang dikatakan menggunakan 'pintu belakang' untuk ke JDT pada awal musim lalu.

"Berkenaan berita baru-baru ini mengenai keputusan Majlis Timbangtara (AIAC) tentang kes yang pemain kelab bola sepak JDT Akhyar Rashid, JDT ingin menjelaskan kelab ini tidak terbabit dalam keputusan itu."

“Kes berkenaan adalah di antara Akhyar dan bekas majikannya berkenaan pampasan semasa penamatan kontrak, di mana JDT tidak terbabit pada ketika itu. Jadi kepada mereka yang tidak memahami kes ini, tidak perlu melompat-lompat dan mengatakan bukan-bukan tentang keputusan itu."

“JDT sudah berhubung dengan para peguam kami dan diberitahu bahawa kelab bukan sebahagian daripada kes ini dan tidak terjejas dengan sebarang tuntutan," kata Alistair.

Semalam, AIAC memutuskan isu kontroversi perpindahan Akhyar memihak KFA selepas skuad Hijau Kuning itu tidak berpuas hati berkaitan isu pelepasan kontrak Akhyar yang diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Difahamkan, ketika itu adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan mana-mana pasukan berhak mendapatkan Akhyar dengan nilai RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak berjumlah RM210,000.

Jumlah berkenaan dipertikaikan KFA sebagai keputusan tidak 'menang-menang' kepada mereka selaku majikan dan menyaksikan KFA terpaksa menuntut pembelaan dengan mengheret kes terbabit ke AIAC.

Walaupun keputusan itu cukup mengembirakan KFA, namun badan induk bola sepak Kedah itu dijangka bakal memfailkan tuntutan tambahan kerana jumlah pampasan yang ditawarkan tidak disertai bersama pampasan latihan atau tanpa 'training compensation' oleh AIAC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 7:15 PM