Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Selepas kali terakhir menjulang Piala AFF pada 2010, sudah tiba masanya skuad Harimau Malaya menamatkan kemarau panjang selama 11 tahun itu dalam saingan di Singapura bulan depan.

Sasaran muncul 'Raja Asia Tenggara' itu disahkan pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang yakin anak buah Tan Cheng Hoe mampu mencapai sasaran itu dengan edisi lalu menyaksikan Malaysia hampir memenanginya buat kali kedua sebelum tewas 2-3 secara agregat di tangan Vietnam.

"Memang itu sasaran untuk pasukan kita bersaing di (Piala) AFF nanti. Sasaran kita mesti sampai ke final, itu kita dah beri sasaran itu kepada pemain. Maksudnya sampai ke final, kita nak jadi juara sebab kita sedia maklum agak lama juga Malaysia tidak menjuarai AFF sudah lebih 10 tahun saya kira.

"Jadi saya fikir sudah sampai masanya kita dengan pasukan yang ada ini, dan pemain yang ada dengan barisan kejurulatihan, saya yakin kita boleh sampai ke final, insya-Allah di final itu kita memang mengharapkan kemenangan.

"Cuma untuk setakat ini, kita tidak cakap terus nak jadi juara dulu, tapi sasaran kita nak ke final itu sebenarnya nak jadi juara untuk kali ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan di antara Little Joe dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Untuk rekod, sepanjang 12 edisi sejak 1996, penampilan skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF atau lebih dikenali dengan Piala Tiger dari 1996 hingga 2004 menyaksikan Malaysia hanya mampu menjulangnya sekali iaitu pada 2010.

Selebihnya, skuad negara pernah muncul naib juara sebanyak tiga kali (1996, 2014, 2018) dan menamatkan saingan di tangga ketiga dua kali (2000, 2004), manakala pencapaian terburuk gagal melepasi peringkat kumpulan sebanyak tiga kali (1998, 2008, 2016).

Sementara itu, Yusoff Mahadi yang juga Timbalan Presiden FAM mengesahkan pasukan kebangsaan akan mula berangkat ke Singapura pada 3 Disember depan iaitu tiga hari sebelum sepak mula aksi pertama menentang Kemboja di Stadium Bishan.

Lantas, dengan situasi terkini itu, hasrat untuk mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan Timor Leste kemungkinan terpaksa dibatalkan memandangkan tempoh masa singkat sebelum aksi pertama Kumpulan B itu.

"Saya tak pasti boleh berlaku (adakan aksi persahabatan dengan Timor Leste) kerana kita sampai 3 haribulan (Disember), dan 6 haribulan dah nak lawan…aksi rasmi kita mula 6 haribulan, jadi kalau sampai 3 haribulan saya tak nampak akan berlaku.

"Cuma mungkin perancangan itu berlaku jika kita pergi 1 haribulan, dan mungkin 2 atau 3 haribulan itu kita mampu buat aksi persahabatan dulu. Perbincangan yang saya tahu kita cuba nak lakukan juga, kita harap dapat tengok permainan sebenar sebelum perlawanan.

"Tapi lepas saya cakap kita pergi 3 haribulan, saya tak nampak yang kita akan dapat buat aksi persahabatan, kecuali kalau kita pergi 1 haribulan," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar mengakui pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan satu aksi persahabatan di Singapura sebagai medan terakhir buat Malaysia mengasah taring menyertai Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 9:42 PM
YUSOFF  (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Kumpulan Elite, Mohamad Farhan Mohamad Fawzi  di Wisma FAM.  FOTO Owee Ah Chun
YUSOFF (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Kumpulan Elite, Mohamad Farhan Mohamad Fawzi di Wisma FAM. FOTO Owee Ah Chun