NORZA (tengah) bersama Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nazifudin Najib dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika sidang media mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-209 di Hotel Shangri-La.  FOTO Aziah Azmee
NORZA (tengah) bersama Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nazifudin Najib dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika sidang media mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-209 di Hotel Shangri-La. FOTO Aziah Azmee
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengeluarkan satu resolusi bagi merayu kepada kerajaan untuk memohon penganjuran temasya Sukan Sea 2027 diteruskan mengikut jadual.

Isu susulan kebimbangan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kemungkinan kerajaan membuat keputusan seperti Australia menarik diri daripada menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026 selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) yang menyatakan kebimbangan mereka berhubung penganjuran Sukan Sea 2027.

Perkara itu ditegaskan Norza dalam sidang media sempena Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-209 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri MOM di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

"Resolusi ini akan diletakkan dalam satu surat yang akan ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk kita memberi tahu keputusan sebulat suara daripada seluruh warga sukan tanah air berhubung penganjuran Sukan Sea 2027 ini.

"Ia bertujuan untuk menguraikan kebimbangan dan tidak mahu apa yang berlaku kepada temasya Komanwel berulang kerana ia membabitkan imej dan maruah negara.

"Jadi resolusi ini untuk kita tekankan kepada kerajaan persediaan penganjuran temasya 2027 berada di landasan yang betul," katanya.

Tegas Norza ia juga adalah penting untuk pembangunan dan perancangan di peringkat akar umbi bahawa apa yang dirancang termasuk dari segi program dan latihan mereka tidak terganggu.

Terdahulu Victoria, Australia mengambil keputusan menarik diri selepas memberikan alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjur temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac 2026.

Terdahulu dalam perkembangan berlainan, Norza juga tidak menolak kemungkinan untuk menyenaraikan negeri lain sebagai salah satu venue Sukan Sea 2027.

Perkara itu turut dibincangkan dengan Sarawak yang dilihat mempunyai kemampuan untuk bersama-sama menganjurkan Sukan Sea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:16 PM