TRAGEDI yang mengorbankan 10 anggota ATM.
TRAGEDI yang mengorbankan 10 anggota ATM.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Orang ramai boleh menyalurkan bantuan kewangan kepada ahli keluarga dan waris mangsa tragedi helikopter terhempas membabitkan 10 pegawai serta pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak baru-baru ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, pihaknya mengaktifkan Tabung Tragedi Lumut 24 bagi memudahkan orang ramai menghulurkan bantuan.

Menurutnya, tabung berkenaan sudah diaktifkan dan orang ramai boleh mula menyalurkan bantuan bermula hari ini.

"Ia bertujuan bagi memudahkan warga ATM dan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban dipikul selepas kehilangan ahli keluarga tercinta

"Sumbangan boleh dihulurkan terus secara dalam talian dengan menyatakan 'Tabung Tragedi Lumut 24' sebagai rujukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Affin Bank di bawah nama Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan nombor akaun 100040001742.

Sumbangan juga boleh dibuat menerusi cek atas nama Tabung Kebajikan Angkatan Tentera dan diserahkan kepada Sel Kebajikan, Cawangan Staf Am, Markas ATM Bahagian Perkhidmatan Anggota, Jalan Padang Tembak, di sini.

"Segala sumbangan orang ramai kepada keluarga perwira tragedi Lumut didahului dengan ucapan terima kasih dan semoga semuanya mendapat kebaikan serta rahmat-Nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:16 PM