Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. FOTO File NSTP
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Realistik atau tidak sasaran untuk melangkah hingga ke final Piala AFF 2021 pencapaian yang harus dicapai skuad Harimau Malaya dalam usaha memastikan pasukan negara berada di kedudukan terbaik di peringkat Asia.

Walaupun, persediaan dilihat cukup suntuk dengan hanya ada beberapa hari untuk menjalani latihan selain tiada perlawanan persahabatan namun sasaran itu sebagai peniup semangat kepada pemain dan barisan kejurulatihan untuk mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan yang akan berlangsung awal bulan depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, dua aksi perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan tempoh hari adalah sebahagian daripada persiapan dalam membentuk barisan pemain mantap sebelum menjelangnya perlawanan Piala AFF itu.

Beliau yang juga pengurus pasukan kebangsaan berkata, barisan pemain dipilih pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menerusi gandingan baru dan lama akan menambah rencah dalam pasukan kebangsaan sekali gus mampu menempah slot ke final kelak.

"Di peringkat Asean memang kita sasar untuk ke final atau juara.. kalau masih lagi tidak yakin untuk bermain di Asean bolehlah lupakan peringkat Asia.

"Kita perlu mampu menakluk di peringkat Asean. Saya kira pemain dan jurulatih faham dengan sasaran itu dan berharap mampu memberikan saingan kepada pasukan lain.

"Perkara paling penting adalah kita perlu menunjukkan karakter pada perlawanan itu. Walaupun tanpa persediaan rapi namun perlu yakin mampu capai sasaran," katanya, pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, hari ini.

Mengikut rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF pada 2010, iaitu kira-kira 11 tahun lalu.

Edisi terdahulu menyaksikan Malaysia hampir memenanginya buat kali kedua sebelum tewas 2-3 secara agregat di tangan Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 11:01 PM