LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah mengesahkan lembu betina bunting yang mati di Kampung Bukit Lanjut Pendang, malam tadi bukan dibaham harimau sebaliknya angkara anjing liar.

Pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mendapati ia bukannya serangan harimau.

"Pihak kami menerima aduan berhubung kejadian itu dan berdasarkan siasatan kita, didapati besar kemungkinan disebabkan anjing liar dan bukannya harimau," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Lanjut, Pendang, Siti Farah Ahmad Nudin, 36, berkata, kejadian lembu peliharaan suaminya, Mohd Azmi Md Hashim, 41, yang mati malam tadi mengejut mereka sekeluarga.

Katanya, dia dengar dengan jelas bunyi ngauman haiwan liar sekitar jam 10.30 malam tadi.

"Masa kali pertama dengar bunyi itu, suami terus ke belakang rumah dan menyuluh lembunya sebelum mendapati lembu yang sarat bunting itu sudah mati dengan kesan darah yang banyak.

"Namun selepas terdengar ngauman kali kedua kami terus masuk ke dalam rumah dan tutup pintu kerana takut," katanya.

Siti Farah berkata, sebelum ini banyak kucing peliharaannya kerap hilang dan mereka mengesyaki ia dimakan binatang buas kerana kedudukan hutan yang dekat dengan rumah mereka.

Media sebelum ini melaporkan, seekor lembu betina bunting ditemui mati dipercayai dibaham seekor harimau di Kampung Bukit Lanjut, di sini, tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:39 PM