PAN-gon sedang persiapkan pasukan untuk Piala AFF. FOTO Eizairi Shamsudin
PAN-gon sedang persiapkan pasukan untuk Piala AFF. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin tiada isu berbangkit daripada pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon (KPG) menjelang persiapan pasukan ke Piala AFF hujung bulan depan.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, sehingga ketika ini, beliau tidak mendengar apa-apa rungutan daripada Pan-gon yang sedang sibuk memantau dan meneliti senarai pemain-pemain yang akan dipanggil dalam kem latihan pusat bermula awal bulan depan.

Malah katanya, beliau percaya pemain yang ingin di bawa ke Piala AFF itu nanti bakal mendapat kerjasama baik daripada kelab masing-masing.

"Setakat ini tak ada apa-apa isu dibangkitkan oleh KPG…dan di lawatan-lawatan venue pun tiada apa isu pun dibangkitkan KPG. Kita beranggapan rasa oklah, dan beliau pun dah nampak pemain-pemain yang beliau nak dan tiada isu," katanya.

Berdasarkan perancangan badan induk itu, kem latihan pusat dijangka bermula awal bulan depan di mana skuad Harimau Malaya akan melalui dua aksi pemanas badan sebelum ke Piala AFF bermula 21 Disember ini.

Malaysia dijadual bertemu Kemboja dan Maldives dalam aksi persahabatan berstatus A, dengan masing-masing pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dan 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Ujar Azman lagi, Pan-gon dijangka mengumumkan barisan pemain selewat-lewatnya minggu depan kerana tarikh akhir pendaftaran awal Piala AFF adalah pada 20 November ini.

"Untuk Piala AFF itu, kita akan hantar senarai awal dengan tarikh akhirnya pada 20 November.

"Saya rasa Insya-Allah, ketua jurulatih akan umumkan senarai akhir pemain selewat-lewat pun dalam 21 atau 22 haribulan ini, tapi tak pasti lagilah.

"Nanti saya tengok (semak) dari KPG, tapi kalau ikut tarikh akhir pemain yang akan kita daftar awal pada 20 November ini," katanya.

Di Piala AFF nanti, perlawanan pertama skuad negara adalah bertemu Myanmar pada 21 Disember di tempat lawan, sebelum bertemu Laos (24 Disember) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Seterusnya, Malaysia akan berdepan Vietnam (27 Disember) di Hanoi sebelum menamatkan aksi kumpulan B dengan menanti kunjungan Singapura (3 Januari) di Bukit Jalil.

Dua pasukan terbaik daripada dua kumpulan akan layak ke separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik pada 6/7 dan 9/10 Januari, disusuli aksi final yang beraksi dua kali pada 13 dan 16 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 5:17 PM