PENGURUS pasukan Harimau Malaya, Datuk Yusoff Mahadi. FOTO Saddam Yusoff
PENGURUS pasukan Harimau Malaya, Datuk Yusoff Mahadi. FOTO Saddam Yusoff
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Masih banyak perlu diperbaiki skuad Harimau Malaya untuk tampil dengan persembahan lebih mantap pada masa akan datang.

Persembahan skuad kendalian Tan Cheng Hoe sepanjang Piala AFF mendapat pujian banyak pihak selepas tampil dengan corak permainan lebih teratur, selari dengan falsafah bola sepak moden.

Pengurus pasukan, Datuk Yusoff Mahadi bagaimanapun menyifatkan pasukan itu perlu memperbaiki segala kelemahan untuk mengatasi saingan pasukan kuat seperti Vietnam dan Thailand.

“Bagi saya sebagai pengurus pasukan, ada banyak lagi benda yang perlu diperbaiki untuk memantapkan pasukan pada masa akan datang,” katanya.

“Walaupun sampai ke final, tentu sekali kami kecewa tak (menjadi) juara. Jadi dua tahun lagi kami akan berdepan Piala AFF, maknanya persediaan perlu dilakukan untuk memenangi piala ini pada 2020.”

Harimau Malaya hanya sekali muncul juara Piala AFF selepas menundukkan Indonesia 4-2 secara agregat pada final lapan tahun lalu.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan badan induk itu akan mengadakan pertemuan dengan Cheng Hoe bagi membincangkan hala tuju Harimau Malaya.

Peluang Cheng Hoe dilanjutkan kontrak sebagai jurulatih Harimau Malaya tampak cerah berdasarkan persembahan memberangsangkan skuad itu sepanjang Piala AFF.

“Walaupun melepasi KPI (indeks petunjuk prestasi utama), jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan tetap akan menilai keseluruhan prestasi Harimau Malaya termasuk semua perlawanan di bawah bimbingan beliau.

“Kami nak menuju ke depan, jadi kami kena lihat keseluruhan termasuk apa yang perlu ditambah baik. Perbincangan ini tidak hanya menjurus kepada peringkat jawatankuasa, tapi mungkin ada sesi bersama Cheng Hoe bagi menerangkan aspirasi FAM.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 6:58 PM