PEMAIN negara gigih menjalani latihan. FOTO FAM
PEMAIN negara gigih menjalani latihan. FOTO FAM
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan mengganggap skuad kedua Harimau Malaya yang tidak dibintangi ramai pemain utama bakal beraksi tanpa tekanan dan mampu membuat kejutan dalam saingan Piala AFF bermula Rabu ini.

Wan Jamak yang pernah membimbing skuad negara beraksi di pentas final Piala AFF atau dahulunya dikenali Piala Tiger pada 1996 hampir menghadiahkan kejuaraan di edisi pertama itu sebelum tunduk 0-1 di tangan Thailand.

Katanya, pasukan kendalian Kim Pan-gon tidak boleh dipandang enteng di saingan itu biarpun hanya membariskan skuad kedua selepas ketiadaan hampir separuh tonggak utama, termasuk yang terbaharu pemain kacukan, Dion Cools yang disisihkan ekoran masalah peribadi.

Namun kata Wan Jamak, kehilangan ramai pemain utama itu mungkin memberi sedikit ketenangan dalam pasukan, dia mana mereka bakal turun tanpa sebarang tekanan sama ada daripada dalam mahupun luar.

"Ini sebenarnya beri kelebihan dari sudut beraksi tanpa tekanan bila pasukan menyenaraikan ramai muka baharu. Malah, pemain-pemain yang jarang beraksi sebelum ini sudah tentunya akan cuba bagi yang terbaik dan sehabis mungkin sebab mahu menunjukkan sesuatu kepada penyokong dan orang terdekat.

"Dua perlawanan persahabatan sebelum ini juga menunjukkan perkembangan baik dan ia momentum yang tepat sebelum memulakan aksi di Piala AFF nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Di saingan itu nanti, Malaysia dijadual membuka tirai kempen berdepan Myanmar di Yangon Rabu ini, sebelum meneruskan perjuangan menentang Laos (di Bukit Jalil 24 Disember), Vietnam (di Hanoi 27 Disember) dan Singapura (di Bukit Jalil 3 Januari) dalam Kumpulan B itu.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya pernah menjulang Piala AFF sekali pada 2010 lalu dan muncul naib juara tiga kali pada 1996, 2014 dan 2018.

Ujarnya ia akan menambah kelompok pemain untuk dipilih ke Piala Asia tahun depan.

"Kita kena lihat juga apa matlamat FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk Piala AFF ini. Jika ia untuk beri peluang pemain baharu, saya fikir ia bagus.

"Ia akan memudahkan jurulatih untuk buat persiapan lebih rapi ke Piala Asia nanti kerana lebih banyak pilihan untuk pasukan negara nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 9:42 PM