LIGA M.
LIGA M.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak berserak! Begitulah langkah yang harus diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap penjadualan saingan Liga Malaysia yang kini dikelola oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Jelas bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar, kepentingan skuad negara adalah keutamaan besar yang perlu dijangka oleh semua pihak termasuk MFL yang diberi amanah oleh FAM untuk mengendalikan saingan liga domestik itu.

Katanya, kegagalan skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang di Piala AFF di Singapura turut dikaitkan dengan tempoh persediaan singkat ditempuhi pasukan negara ekoran jadual Liga M yang cukup padat.

Justeru, FAM disarankan supaya mencadangkan kalendar liga tempatan diubah mengikut format liga antarabangsa yang bermula dari pertengahan musim ke pertengahan musim berikutnya, berbanding awal tahun ke hujung tahun.

"Apa yang FAM dapat bila tengok KL City (Kuala Lumpur City) menang Piala Malaysia? Apa FAM dapat bila tengok JDT (Johor Darul Ta'zim) jadi juara sampai berkali-kali? Apa yang mereka dapat, dapat seronok?

"Sebenarnya peranan utama FAM meletakkan pasukan negara capai keputusan yang terbaik dan menang mana-mana kejohanan. Bila kita kalah di Piala AFF, tengok siapa yang kena hentam dengan peminat dan penyokong.

"Apa yang FAM dapat bila pasukan negara kita gagal? Mereka dapat kritikan, cacian dan macam-macam desakan, jadi adakah itu yang FAM mahu. FAM kena tegas dan mereka kena minta jadual liga diberi kelebihan kepada skuad negara.

"Kalau jurulatih kebangsaan rasa perlu latihan selama sebulan untuk berlatih, patutnya MFL kena ikutlah dan FAM kena tegas perkara ini. Tengok macam mana Liga Indonesia boleh saja beri kelebihan kepada skuad kebangsaan mereka. Kenapa kita tak boleh dan susah sangat nak buat. Kena ingat, kejayaan sesebuah liga bergantung kepada kejayaan skuad kebangsaan," katanya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya dikecam hebat peminat yang kecewa dengan kegagalan anak didik Tan Cheng Hoe melepasi peringkat Kumpulan B Piala AFF baru-baru ini.

Banyak kritikan dilemparkan dan banyak juga alasan diberi termasuk tempoh persiapan singkat sebelum ke Piala AFF. Untuk rekod, pasukan negara hanya sempat berlatih selama dua hari dengan skuad penuh sebelum berlepas ke Singapura dan akhirnya Malaysia gagal mencapai sasaran untuk ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 7:01 AM