RONALDO akan terus buru hatrik. -FOTO Reuters
RONALDO akan terus buru hatrik. -FOTO Reuters
Agensi

Manchester: Cristiano Ronaldo, 37, meletakkan dirinya pada tahap tersendiri apabila dia kini sudah pun meledak 60 hatrik sepanjang kariernya, 30 sebelum berusia 30 tahun dan 30 lagi selepas itu.

Terbaru dia melakukan hatrik ketika membantu Manchester United menewaskan Norwich City 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.

"30 hatrik sebelum 30 dan 30 hatrik selepas 30. Sekarang masa untuk membuatkan ia berat sebelah!" kata Ronaldo di media sosial.

Ronaldo melakukan 44 hatrik ketika bersama Real Madrid dan sepanjang dua kali bersama United dia sudah melakukan tiga hatrik.

Tiga kali sepanjang dua musim bersama Juventus dan 10 kali buat negaranya, Portugal.

Biarpun ramai yang mengkritik penampilannya di United musim ini, Ronaldo membuktikan dia masih yang terbaik apabila sudah meledak 21 gol dalam semua pertandingan pada kempen kali ini - 12 mengatasi rakan senegaranya Bruno Fernandes.

Dia juga menjadi pemain nombor tujuh pertama melakukannya sejak... dia sendiri melakukannya ketika kali pertama menyertai United.

Pemain nombor tujuh lain antaranya Michael Owen, Antonio Valencia, Angel Di Maria, Memphis Depay dan Alexis Sanchez semuanya gagal melepasi 20 gol semusim.

Paling hampir adalah Edinson Cavani dengan 17 gol musim lalu sebelum dia menyerahkan jersi itu kepada Ronaldo.

Ronaldo kini memegang rekod penjaring terbanyak dengan 810 gol dalam kariernya. Dia turut memecahkan rekod jaringan antarabangsa yang dipegang Ali Daei dari Iran dengan meledak 115 gol dalam 186 penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 12:52 PM