HANNAH menggunakan budi bicara sebagai menteri untuk memberikan insentif khas. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
HANNAH menggunakan budi bicara sebagai menteri untuk memberikan insentif khas. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Skuad sepak takraw lelaki negara memperoleh 'durian runtuh' apabila menerima insentif khas berjumlah RM170,000 selepas meraih pencapaian membanggakan pada saingan Piala Dunia 2024, minggu lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika mengumumkan perkara itu berkata, pasukan double dan regu yang memenangi emas, masing-masing akan menerima sebanyak RM60,000 manakala RM50,000 akan diberikan kepada acara berpasukan yang meraih perak.

Pada final acara double dan regu, skuad negara berjaya menewaskan Thailand namun tidak berjaya memperoleh kemenangan hatrik selepas tumpas kepada lawan sama dalam acara berpasukan.

"Ini adalah insentif khas daripada MSN (Majlis Sukan Negara) dan bukannya melalui Shakam (Skim Hadiah Kemenangan Sukan). Ini kerana, kejohanan ini bukan kejohanan utama yang diletakkan oleh PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia) sebagai kejohanan utama.

"Namun, saya menggunakan budi bicara saya sebagai menteri untuk memberikan insentif khas ini kerana kita tahu Piala Dunia sepak takraw ini sangat besar maknanya untuk rakyat Malaysia dan atlet.

"Kita tahu atlet sudah bekerja keras untuk memenangi emas," katanya ketika selepas menyambut kepulangan atlet boling padang para di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), hari ini.

Mengulas permintaan PSM yang mahukan stadium sepak takraw sendiri, Hannah berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama pihak universiti tempatan yang mempunyai banyak tanah.

"Kita ada 103 jenis sukan yang diwartakan, kalau boleh memang saya mahu padankan satu sukan itu ada tempat latihan sendiri, tetapi untuk satu sukan dapat satu stadium agak sukar sebenarnya.

"Jadi, apa yang kita akan buat adalah kita bersama persatuan berbincang dengan universiti kerana sekarang ini kita memang banyak jalinkan kerjasama dengan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi).

"KPT ini ada banyak tanah untuk sukan dan bila tiada kejohanan pelajar-pelajar boleh gunakan. Saya rasa itu kaedah yang paling efektif," katanya.

Sementara itu, mengenai permintaan PSM agar sukan itu kembali sebagai sukan teras, Hannah berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat MSN terlebih dahulu.

Sepak takraw bersama-sama angkat berat dan taekwondo adalah tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras pada 2017 selepas mempamer prestasi buruk ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 4:46 PM